Suspek gangguan seksual dalam tren ditahan

Suspek gangguan seksual dalam tren ditahan

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai melakukan gangguan seksual di dalam tren yang dalam perjalanan dari KL Sentral ke Ipoh, Perak, kelmarin.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam kenyataan, memaklumkan pihaknya menerima laporan mengenai insiden gangguan seksual di dalam tren ETS pada 16 April lalu.

Sejurus menerima laporan daripada kru tren, anggota polis bertugas mengambil tindakan pantas dengan menahan suspek setibanya di Stesen Tanjung Malim, Perak.

“Suspek kemudiannya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, mangsa turut diberikan bantuan sewajarnya sehingga selesai membuat laporan polis.

“KTMB memandang serius sebarang bentuk gangguan atau salah laku yang menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan penumpang.

“Kami kekal komited untuk menyediakan persekitaran perjalanan yang selamat, selesa dan terjamin kepada semua pengguna perkhidmatan kami,” katanya.

Katanya, orang ramai dinasihatkan untuk segera melaporkan sebarang insiden kepada kru tren atau pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan pantas diambil.

“Selain itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan diminta menghubungi Pusat Pengumpulan dan Penyaluran Maklumat Polis Bantuan KTMB di talian 03-2263 1194 (24 jam) atau memaklumkan kepada pihak PDRM bagi tindakan segera.

“KTMB akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dalam memastikan keselamatan perkhidmatan sentiasa terpelihara,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top