London: Bekas juara Wimbledon, Marketa Vondrousova berkata dia berada di “tahap paling tertekan selepas berbulan-bulan mengalami tekanan fizikal dan mental” ketika menolak lawatan pegawai kawalan doping ke rumahnya pada Disember 2025.
Pemain dari Republik Czech itu didakwa kerana enggan menjalani ujian doping oleh Agensi Integriti Tenis Antarabangsa (ITIA) selepas tidak membenarkan pegawai berkenaan masuk untuk menjalankan ujian.
Pemain diwajibkan merekodkan lokasi mereka dalam tempoh satu jam yang ditetapkan setiap hari bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan ujian anti-doping di luar pertandingan.
Sekiranya pemain berusia 26 tahun itu didapati bersalah, dia berdepan penggantungan sehingga empat tahun.
Namun, Vondrousova menjelaskan dia bimbang akan keselamatannya apabila pegawai itu datang ke rumahnya dan mendakwa prosedur tidak dipatuhi.
“Insiden kawalan doping baru-baru ini berlaku kerana saya mencapai tahap paling tertekan selepas berbulan-bulan mengalami tekanan fizikal dan mental,” katanya menerusi Instagram.
“Apabila seseorang menekan loceng rumah saya pada lewat malam tanpa memperkenalkan diri dengan jelas atau mengikut prosedur, saya bertindak sebagai individu yang berasa takut.
“Ketika itu, ia soal keselamatan diri, bukan untuk mengelak apa-apa.”
Juara perseorangan wanita Wimbledon 2023 itu menambah bahawa “pakar mengesahkan” dia mengalami reaksi tekanan akut serta gangguan kebimbangan umum.
ITIA dalam kenyataan memaklumkan pihaknya “menyedari kenyataan pemain itu” dan mengesahkan siasatan sedang dijalankan serta pemain berkenaan sudah didakwa kerana enggan menjalani ujian, namun tidak dapat mengulas lanjut mengenai butiran kes.
© New Straits Times Press (M) Bhd




