‘Kapten sejati’ – Tindakan pantas Insa bantu Jairo raih pujian peminat

‘Kapten sejati’ – Tindakan pantas Insa bantu Jairo raih pujian peminat
‘Kapten sejati’ – Tindakan pantas Insa bantu Jairo raih pujian peminat

Insa berlari membawa pengusung untuk membolehkan rawatan disegerakan kepada Jairo.

TINDAKAN kapten Johor Darul Ta’zim (JDT), Natxo Insa, mencuri tumpuan dalam aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) menentang Al Ahli pada Jumaat selepas beliau dilihat bergegas mendapatkan pengusung bagi mempercepatkan bantuan kecemasan kepada rakan sepasukannya, Jairo da Silva.

Dalam perlawanan yang penuh intensiti itu, Jairo rebah di tengah padang selepas terkena tendangan di bahagian muka oleh pemain Al Ahli, Ali Majrashi yang melakukan sepakan gunting untuk mengeluarkan bola pada minit ke-36.

Melihat keadaan Jairo yang membimbangkan dan pasukan perubatan agak lambat bertindak, Insa tanpa berlengah terus berlari ke tepi padang untuk mengambil sendiri pengusung bagi memastikan rakannya itu mendapatkan rawatan segera.

Bagaimanapun, tindakannya itu menyebabkan pengadil melayangkan kad kuning kepadanya.

Tindakan Insa itu mendapat pujian melambung daripada peminat bola sepak di media sosial yang menyifatkan beliau sebagai seorang pemimpin yang sangat mementingkan keselamatan rakan sepasukan.

Seorang pengguna media sosial, Ahmad Irfan menyifatkan Insa melakukan apa yang sepatutnya dilakukan oleh seorang kapten.

“Insa buat apa yang seorang kapten perlu buat untuk rakan sepasukannya,” katanya.

Nada yang sama turut dikongsi oleh Nur Mohd yang menyifatkan pemilihan Insa dalam perlawanan itu sebagai ketua pasukan adalah sangat tepat.

“Baru kita faham kenapa Insa menjadi kapten dan bermain dalam perlawanan ini… kapten sejati,” tulisnya.

Dalam pada itu, Jairo dilaporkan berada dalam keadaan stabil selepas dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut sejurus insiden tersebut.

Pada perlawanan itu, skuad Harimau Selatan terpaksa akur tewas 1-2 kepada juara bertahan tersebut, sekali gus menyaksikan impian ke separuh akhir tidak kesampaian.

Scroll to Top