puterialia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyanyi dan pelakon, Aliff Aziz berkongsi dia kini bersedia untuk terus aktif mencurahkan bakti dalam industri seni selagi dikurniakan rezeki untuknya.
Aliff, 35, berkata, dia kini lebih tenang dan meletakkan kepercayaan sepenuhnya terhadap ketentuan Ilahi mengenai perjalanan kerjayanya selepas ini.
“Selagi ada rezeki, insya-Allah. Bagi saya, saya percaya rezeki kita semua ini datang daripada sumber yang sama iaitu daripada Allah.
“Kalau ada rezeki untuk saya, Alhamdulillah. Kalau tiada, bererti ada benda yang lebih baik untuk saya.
“Ini cara yang saya fikir sekarang. Ia bukan sekadar kata-kata untuk menyedapkan hati, tetapi saya betul-betul percaya dengan perkara itu,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Sementara itu, pelantun lagu Keajaiban Cinta ini turut mengakui dia kini lebih tenang dalam mendepani fasa kerjayanya selepas memilih untuk merehatkan diri sebelum ini.
Mengulas mengenai situasi yang dilaluinya, Aliff tidak menafikan tawaran kerja mungkin agak berkurangan, namun dia tetap memanjatkan rasa syukur dengan apa yang tertulis.
“Macam saya katakan, alhamdulillah setakat ini. Mungkin pada waktu saya benar-benar berada dalam keadaan (kemelut) itu, rezeki mungkin berkurang.
“Tetapi alhamdulillah, seperti yang saya katakan tadi, sewaktu saya duduk berfikir mengenai masa depan, sebenarnya saya memilih untuk merehatkan hati saya.
“Rezeki kalau tidak ada di situ, pasti ada di tempat lain. Kalau tidak ada di sini, ada di sana. Selagi kita masih hidup, insya-Allah Allah akan berikan kita rezeki,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




