Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin bersedia untuk bekerjasama dengan semua peringkat kepimpinan dan akar umbi parti demi memulihkan keyakinan rakyat terhadap parti.
Beliau yang diterima kembali ke pangkuan UMNO semalam menyifatkan keputusan itu sebagai titik permulaan baharu untuk semua pihak melangkah ke hadapan dengan lebih bersatu, matang dan berwibawa.
“Saya menerima keputusan ini dengan penuh rasa rendah diri dan kesyukuran serta menyedari amanah besar yang hadir bersamanya.
“Tempoh di luar parti sudah memberi saya ruang untuk muhasabah dan memperbaiki kelemahan diri.
“Saya kembali bukan dengan sebarang tuntutan, tetapi dengan tekad untuk berkhidmat dan menyumbang sebaik mungkin kepada kekuatan UMNO,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Presiden UMNO atas kebijaksanaan serta pertimbangan dalam menerima semula permohonan keahliannya.
“Ucapan terima kasih ini juga saya tujukan kepada seluruh Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang telah membuat keputusan ini dengan penuh hikmah dan keinsafan terhadap masa depan perjuangan parti,” katanya.
Sementara itu, bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang turut ditarik penggantungan oleh MKT UMNO semalam berkata beliau akan terus berkhidmat kepada parti.
“Alhamdulillah, MKT UMNO sudah menarik semula penggantungan saya selepas tiga tahun.
“Saya akan terus berjuang dan berkhidmat. Memikul amanah dengan komitmen dan prinsip Dulu, Kini, Selamanya,” katanya.

Semalam, Khairy, Hishammuddin serta veteran politik, Tan Sri Syed Hamid Albar dan lebih 6,200 bekas pemimpin serta ahli di peringkat bahagian dan cawangan seluruh negara diterima semula ke dalam parti.
Sumber: FB Khairy Jamaluddin,



