Glocal Travel lakar sejarah, agensi pelancongan umrah pertama ceburi model francais

Glocal Travel lakar sejarah, agensi pelancongan umrah pertama ceburi model francais

Kuala Lumpur : Glocal Travel & Tours (Glocal Travel) menyasarkan seramai 50 francaisi selepas terpilih sebagai agensi pelancongan umrah dan haji pertama dalam perniagaan francais kendalian Perbadanan Nasional Berhad (Pernas).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Md Idzham Isa berkata, sasaran itu sebagai langkah permulaan ke arah pembangunan perniagaan berasaskan model francais yang lebih tersusun dan berdaya saing selain menyokong syarikat tempatan ke arah model francais.

Menurut beliau, kesiapsiagaan Glocal Travel dalam mengembangkan perniagaan secara sistematik terbukti selepas berjaya menamatkan penyertaan dalam Program Pembangunan Pernas Xcelerator.

“Program tersebut merupakan inisiatif yang membimbing syarikat tempatan berpotensi tinggi ke arah perniagaan francais di mana Glocal Travel telah melalui proses penstrukturan semula perniagaan.

“Ia merangkumi pembangunan pematuhan prosedur operasi standard (SOP), sistem latihan, pengukuhan tadbir urus serta pemantapan model perniagaan sebagai persediaan ke arah pengembangan melalui rangkaian francais,” katanya pada majlis pelancaran awal pra-francais syarikat itu semalam.

Turut hadir, Pengerusi Pernas, Datuk Mohamed Rozhan Mohd Ghazalli dan Ketua Pegawai Eksekutif Pernas, Datuk Nor Azam M. Taib.

Majlis ini turut menjadi platform untuk memperkenalkan hala tuju syarikat dalam membangunkan jenama francais umrah dan haji berstandard tinggi, dengan penekanan kepada penyeragaman operasi, kualiti perkhidmatan serta pengalaman pelanggan yang konsisten.

Mengulas lanjut, Md Idzham berkata, pendekatan itu dijangka memberi nilai tambah kepada jemaah melalui pengurusan perjalanan yang lebih tersusun, telus dan profesional, disokong oleh mutawwif serta tenaga pengurusan berpengalaman.

Sebagai sebahagian daripada pelan pengembangan, Glocal Travel turut merancang memperkenalkan penawaran baharu termasuk pakej premium, kembara Muslim serta pengukuhan platform digital bagi meningkatkan kecekapan operasi.

“Inisiatif ini turut membabitkan pengukuhan sistem pemasaran, digital dan rangkaian ejen gabungan (affiliate) bagi memastikan pertumbuhan mampan di mana dengan rekod pengurusan ribuan jemaah setiap tahun, Glocal Travel berada pada landasan kukuh,” katanya.

Glocal Travel adalah agensi milik Bumiputera yang menawarkan perkhidmatan menyeluruh termasuk pakej umrah, ziarah, percutian santai, lawatan korporat serta pelancongan berasaskan alam semula jadi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top