Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) boleh berunding dengan Rusia bagi mendapatkan bekalan minyak sebagai langkah memastikan keperluan tenaga negara kekal mencukupi.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau optimis kerana Putrajaya dan Moscow mempunyai hubungan yang masih baik.
Katanya, pada masa ini juga banyak negara Eropah, kecuali Amerika Syarikat (AS) yang mengenakan sekatan ke atas Moscow kembali mendapatkan bekalan minyak dari Rusia atas pertimbangan keperluan ekonomi semasa.
“Alhamdulillah, kerana hubungan kita dengan Rusia itu, masih baik. Jadi, dalam keadaan sekarang ini pun, pasukan kita termasuk dari PETRONAS, boleh berunding dengan Rusia untuk memenuhi sebahagian daripada keperluan kita,” katanya.
Beliau berucap dalam Majlis Perasmian Terminal Baharu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di Kota Bharu hari ini.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri memaklumkan kapal minyak PETRONAS telah tiba di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC), Johor, semalam.
Jelas beliau, bekalan itu penting kerana proses penapisan minyak hanya boleh dilakukan di PIC.
Katanya, kejayaan tersebut hasil hubungan awal kerajaan dengan kepimpinan Iran yang membolehkan laluan diberikan ketika rundingan antarabangsa berkaitan Selat Hormuz masih buntu.
Menurutnya, krisis global itu turut mendorong negara lain mendapatkan kerjasama Malaysia termasuk Australia bagi membincangkan bekalan petrol, diesel dan baja.
Namun, tegas beliau, keutamaan kerajaan kekal kepada keperluan domestik sebelum mempertimbangkan bantuan kepada negara luar.
“Keutamaan ditetapkan kepada keperluan domestik. Jika ada lebihan, kita bantu negara sahabat, namun jika tiada, kita fokus kepada rakyat kita dahulu,” katanya.




