Tangani isu tanpa meruntuhkan imej universiti – Zambry

Tangani isu tanpa meruntuhkan imej universiti – Zambry

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Cyberjaya: Kementerian Pendidikan Tinggi tidak sesekali mempertahankan kelemahan dalam institut pengajian tinggi (IPT), sebaliknya mengambil tindakan terhadap sebarang isu terkait dengan memastikan imej dan nilai institusi terpelihara.

Menterinya Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, sebarang isu yang timbul perlu ditangani secara telus dan berhemah tanpa menjejaskan reputasi institusi secara keseluruhan.

“Universiti adalah aset negara yang memainkan peranan penting dalam membentuk modal insan. Sebarang persepsi negatif yang tidak seimbang boleh memberi kesan jangka panjang.

“Ketika kita berusaha menyelesaikan sesuatu masalah, kita juga tidak boleh membiarkan wujudnya unsur-unsur yang boleh meruntuhkan institusi itu,” katanya ketika sesi townhall pada Karnival Integriti dan Antirasuah 2026 di Dewan Canselor Universiti Multimedia Malaysia (MMU) di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Azmi Kamaruzaman.

Zambry menjawab soalan mahasiswa mengenai skandal rasuah membabitkan perolehan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang dilapor, baru-baru ini.

Menurutnya lagi, UKM adalah sebuah institusi yang dibanggakan sama seperti IPT lain yang mempunyai nilai dan kualiti tersendiri, namun terjejas akibat terpalit dengan isu rasuah sekali gus menukar persepsi masyarakat terhadap universiti berkenaan.

“Bayangkan, setiap hari kita membaca pelbagai cerita dan laporan berkaitan institusi ini. Namun, ini bukan bermaksud kita cuba mempertahankannya.

“UKM adalah sebuah institusi yang kita banggakan bersama, begitu juga dengan IPT lain yang mempunyai nilai dan kualiti tersendiri.

“Namun, disebabkan perkara seperti ini (isu rasuah), masyarakat melihat universiti itu daripada perspektif yang lain (negatif),” katanya.

Menurutnya, KPT mengambil pelbagai langkah proaktif termasuk menyemak semula sistem dan prosedur sedia ada di universiti memastikan pematuhan terhadap garis panduan ditetapkan.

“Aspek integriti turut diperkukuh melalui penglibatan pegawai berpengalaman termasuk mereka yang mempunyai latar belakang dalam penguatkuasaan bagi membantu memantau tadbir urus institusi.

“Pemantauan dilakukan adalah secara berterusan dan kita tidak hanya menunggu sehingga sesuatu isu menjadi besar baru bertindak.

“Ini bermaksud pendekatan kita bukan reaktif tetapi lebih kepada pencegahan dan penambahbaikan sistem,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama antara universiti, kementerian serta agensi berkaitan amat penting bagi memastikan tadbir urus yang baik dapat dilaksana termasuk membabitkan urusan kewangan dan perolehan.

“Semua pihak tidak boleh bekerja secara bersendirian. Kita perlu bergerak bersama bagi memastikan sistem yang dibina benar-benar berfungsi.

“Bagaimanapun, usaha membetulkan keadaan tidak membuka ruang kepada pihak tertentu untuk mengambil kesempatan sehingga menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi pendidikan tinggi.

“Dalam pada kita memperbaiki kelemahan, jangan sampai ada pihak yang cuba meruntuhkan institusi dengan persepsi yang tidak tepat,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan SPRM menjalankan siasatan terhadap tiga tender perolehan di UKM bernilai RM58.45 juta selepas pendedahan Laporan Ketua Audit Negara yang dikeluarkan Julai 2025.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top