Kuala Lumpur: Kapten skuad Piala Thomas negara, Aaron Chia mengakui pendekatan barisan kejurulatihan mengadakan kem latihan di luar negara banyak membantu persiapan Malaysia menjelang kejohanan di Horsens, Denmark dari 24 April hingga 3 Mei 2026.
Aaron berkata, kem latihan yang diadakan di Herning itu membantu pemain-pemain terlibat menjadi lebih fokus dan tenang sebelum beraksi pada pusingan akhir Piala Thomas dan Piala Uber.
“Dekat sini kami tidak perlu fikir banyak kerana makanan dan pengangkutan disediakan untuk kami lebih fokus dan bersemangat menjalani latihan.
“Malah kami juga dekat sini ada cef staf sokongan dan rakan sepelatih, jadi tak perlu fikir perkara lain,” katanya menerusi video yang dikongsikan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini.
Sementara itu, pengurus pasukan negara Datuk Chong Juing Chain berkata, kesemua pemain kini berada dalam kondisi terbaik selepas dua hari menjalani kem latihan pusat.
Beliau berkata, motivasi pemain negara berada pada tahap tertinggi menjelang kejohanan itu.
Sebelum ini, BAM menyenaraikan pemain profesional lelaki negara Lee Zii Jia serta Leong Jun Hao, Justin Hoh dan Aidil Sholeh Ali Sadikin bagi membawa cabaran perseorangan lelaki.
Cabaran bagi acara beregu lelaki pula diterajui pasangan nombor dua dunia Aaron Chia-Soh Wooi Yik selain Man Wei Chong-Tee Kai Wun serta pasangan profesional Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani.
Skuad lelaki kebangsaan diundi dalam Kumpulan B bersama Jepun, England dan Finland.
Sementara itu, bagi saingan Piala Uber pula, skuad negara menampilkan gandingan M Thinaah-Chong Jie Yu, pasangan muda Ong Xin Yee-Carmen Ting serta Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah.
Barisan perseorangan wanita terdiri daripada K Letshanaa bersama Wong Ling Ching, Siti Zulaikha Azmi dan Goh Jin Wei.
Skuad wanita diundi dalam Kumpulan B bersama Jepun, Turkiye dan Afrika Selatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




