Tuah Wani Kayrie dan 10 lagu mara ke pentas akhir AJL40

Tuah Wani Kayrie dan 10 lagu mara ke pentas akhir AJL40

SHAH ALAM: Rezeki ternyata menyebelahi penyanyi, Wani Kayrie, apabila berjaya melangkah ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-40 setelah 11 tahun menanti peluang keemasan itu.

Kejayaan itu adalah menerusi lagu berjudul Cak Cak Cekuk, ciptaan Karim Karam, Shane Kennedy dan Iqie Hugh.

Selain itu, Juara Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-39, Marsha Milan juga diumumkan layak bersaing di pentas AJL 40 menerusi lagu Tangisan Seorang Pendosa, ciptaannya sendiri dan lirik oleh Hazama.

Lagu Tiwikarma nyanyian kumpulan K.O.I juga mencipta pencapaian tersendiri apabila buat kali pertama berjaya melayakkan diri ke pentas berprestij AJL40.

Dicipta oleh Zai Hamzah dan Hemo Globin, dengan lirik hasil sentuhan Achoi Floor 88 bersama Khaza Raflex, Tuan Nicky, Mya Nana dan Sapik Sam tampil dengan kekuatan tersendiri sekali gus mencipta sejarah peribadi apabila julung kalinya berjaya berentap dengan sembilan lagu lain yang turut layak ke peringkat akhir.

Selain itu, Aina Abdul yang pernah diangkat sebagai penerima trofi Persembahan Terbaik pada AJL39 menerusi persembahan lagu Puas Sudah juga layak  menerusi lagu Kamu.

Turut mara, Nurcinta nyanyian Amir Masdi yang dihasilkan sepenuhnya bersama Edry Abd Halim, selain Nostalgila nyanyian Haqiem Rusli ciptaan sendiri dengan lirik bersama Fahmi Zafran.

Lagu-lagu itu diumumkan pada siaran langsung TV3 dari Studio 1, Glenmarie, di sini, menerusi episod kedua AJL 40 Separuh Akhir (SA), malam tadi.

Tujuh lagu lain yang diumumkan layak ke AJL40 adalah Lemah (Dayang Nurfaizah), Lumangad Oku Dika (Reynald Guntabid), Tak Adil (Aisha Retno), Ke Mana Ni (Kmy Kmo, Luca Sickta), Semacam Pandora (Hazama).

Terdahulu, sebanyak 20 lagu mara ke pentas separuh akhir AJL40 yang diadakan selama dua hari bermula 17 dan 18 April.

Selain lagu yang layak masuk ke pentas akhir, lagu lain yang bertanding di pentas separuh akhir ialah Hijab Rindu nyanyian Black Hanifah hasil ciptaan Rudy Nastia, Nyawa Black, Kelana dan Adi Pawana, dengan lirik oleh Adi Pawana serta Rudy Nastia.

Selain itu, Pernah Punya Aku (nyanyian dan ciptaan sepenuhnya Shila Amzah), F oleh Floor 88 (ciptaan Zai Hamzah/lirik Achoi Floor 88 dan Hemo).

Persaingan turut diserikan dengan Puaskah nyanyian Ameerais dan Mariam Saim (ciptaan dan lirik Iqie Hugh serta Shazriq Azeman), Seribu Tahun Lagi (Imran Ajmain/ciptaan dan lirik Amylea Azizan).

Lagu duet Rasa & Takdir nyanyian Amira Othman dan Irfan Haris ciptaan serta lirik Syafiq Rashid turut layak ke peringkat separuh akhir termasuk lagu Hilangmu Tak Terganti oleh Tajul dan Afieq Shazwan (ciptaan dan lirik Haqiem Rusli).

Melengkapkan senarai ialah Menyala nyanyian Stacy (ciptaan Bunga Cantik/lirik Bunga Cantik dan Hang Nadim).

Barisan juri diketuai oleh Datuk Acis dengan LY, Ad Samad, Siti Hajar dan Efry Arwis yang turut memegang peranan sebagai juri.

AJL40 SA dihoskan oleh Fiza Frizzy dan Sissy Iman, manakala Tuju dan Kaka Azraff tampil menerusi persembahan interlud, pada episod malam tadi.

Sidang produksi AJL40 SA diketuai oleh Russell Mark Rodrigues sebagai pengurus projek, Jamil Hassan sebagai penerbit eksekutif dan Mohd Jamira Ramli sebagai penerbit.

Pentas akhir AJL40 akan berlangsung di Unifi Stadium Bukit Jalil, Ogos nanti.

Scroll to Top