Anis Suraya anggap Intan Maya berbakat dan ada gaya tersendiri

Anis Suraya anggap Intan Maya berbakat dan ada gaya tersendiri

puterialia@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Menjadi seorang penyanyi bermakna kita sudah bersedia untuk menempah kecaman,” kata penyanyi, Anis Suraya mengulas mengenai kecaman yang diterima oleh penyanyi baharu, Intan Maya.

Intan Maya baru-baru ini berdepan kritikan hebat netizen selepas menyanyikan versi baharu lagu Cinta Tersimpul Rapi, yang sering dibandingkan dengan versi kecanggihan kecerdasan buatan (AI).

Mengulas mengenai vokal Intan Maya yang dikritik, Anis atau nama sebenarnya, Tengku Ani Soraya Tengku Abdullah Sulaiman, 46, menyifatkan penyanyi itu sebenarnya mempunyai bakat dan identiti tersendiri, namun lagu tersebut mungkin kurang sesuai dengan tekstur suaranya.

“Bagi saya Intan Maya berbakat dan ada gaya sendiri. Dia sebenarnya boleh menyanyi cuma suara dia mempunyai ‘weight’ yang berbeza. Dia (Intan) kurang sesuai dengan lagu pop, tetapi lebih kena dengan genre jazz kerana gaya vokalnya yang bersahaja.

“Dia dikecam bukan kerana tidak boleh menyanyi, tetapi kerana lagu itu terlalu menyerupai lagu buatan AI Jane In Heaven. Pada saya, jika lagu mahu diberi nafas baru, janganlah terlalu serupa.

“Saya sebenarnya mempertahankan penggunaan AI (dalam sesebuah karya) jika ia digunakan secara berhemah dan mengikut saluran yang betul,” katanya ketika ditemui pada Pertandingan Bowling Persahabatan Kelab Peminat Anis Suraya dan Konsortium IRAMA & Koperasi IRAMA di Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, pelantun lagu Cinta Tersimpul Rapi ini turut menitipkan pesanan buat Intan Maya agar lebih kental mendepani cabaran industri seni masa kini.

“Menjadi artis ini bukan sekadar menyanyi, senyum dan ambil gambar dengan peminat. Ia mencabar mental dan fizikal. Jangan ambil negatif dengan komen orang kerana kita tidak boleh paksa semua orang suka kita.

“Macam saya dulu pun, bila saya mula- mula menyanyi orang tetap bandingkan suara saya dengan artis-artis lain. Itu hakikat yang perlu diterima.

“Zaman saya dulu pun kena kecam, cuma bezanya dulu orang kecam secara depan-depan. Jadi untuk Intan Maya, kena lebih fokus dengan matlamat asal dalam bidang nyanyian ini.

“Jangan terlalu letakkan populariti di hadapan dan jangan terlalu ambil sangat dengan apa yang orang kata.

“Jadi, bila kita menyanyi ini kita kena terima apa yang orang komen. Ada benda yang kita perlu terangkan dan ada benda kita tidak perlu untuk terangkan,” katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, dalam satu kenyataan, Intan mengakui dia berkecil hati apabila nyanyian Cinta Tersimpul Rapi versi nyanyiannya dibandingkan dengan versi AI.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top