Mahasiswa perlu bijak tapis maklumat, jangan abai fakta sebenar – SPRM

Mahasiswa perlu bijak tapis maklumat, jangan abai fakta sebenar – SPRM

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Cyberjaya: Golongan mahasiswa dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan maklumat palsu yang disebarkan di media sosial hingga mengabaikan fakta sebenar mengenai sesuatu perkara.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Azmi Kamaruzaman berkata, golongan mahasiswa sebagai kumpulan terpelajar sepatutnya lebih bijak dalam menapis segala maklumat diperoleh.

“Dengan pelbagai maklumat yang diperoleh itu, kamu boleh buat analisa sendiri menggunakan pemikiran kritikal bagi menentukan apa yang sebenarnya betul,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan mahasiswa mengenai isu kontroversi mafia korporat membabitkan SPRM ketika Sesi Townhall dalam Karnival Integriti dan Antirasuah 2026 di Dewan Canselor Universiti Multimedia Malaysia (MMU), di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Mengulas lanjut, Azmi berkata, kes berkenaan adalah kes lama yang masih dalam siasatan pihaknya dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Bukan kita tolak isu ini, namun ia kes lama yang masih dalam siasatan dan sudah ada tangkapan dibuat.

“Jika mahu menjawab persoalan itu (berkaitan mafia korporat), kenapa mereka (yang terbabit dalam kes berkenaan) lari? Balik la semula ke Malaysia jika berani,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan PDRM akan menggunakan semua instrumen perundangan termasuk mengekstradisi mana-mana individu bagi membantu siasatan dakwaan kegiatan manipulasi korporat.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, siasatan dijalankan di bawah jenayah serta pengubahan wang haram mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dengan proses itu masih berjalan.

Pada 18 Mac lalu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilaporkan berkata, ahli perniagaan, Victor Chin yang didakwa terbabit dalam manipulasi korporat yang dikaitkan dengan SPRM kini berada di luar negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top