am@hmetro.com.my
Setiu: Idea memperkenalkan menu celup tepung mengikut cita rasa sendiri yang dimasak di atas dapur kayu api membuka pintu rezeki buat wanita ini.
Nik Yang Nik Ismail, 72, atau lebih mesra dengan panggilan Ma Hasnik berkata, pada awalnya dia bermula dengan berniaga secara kecil-kecilan menjual keropok serta pisang goreng lebih 30 tahun lalu.
Namun katanya perniagaan itu sedikit merosot selepas beberapa tahun dibuka menyebabkan dia memilih untuk memperkenalkan menu celup telup berasaskan hasil laut segar seperti sotong, udang dan ikan pada tahun 2002.
“Sebelum ini menu itu hanya untuk hidangan keluarga namun apabila mula diperkenalkan kepada orang ramai mula mendapat sambutan menggalakkan dari hari ke hari.
“Dahulu sekitar kawasan Pantai Penarik dan Pantai Rhu 10 ini tidak ada yang menjual makanan celup tepung namun selepas beberapa tahun kemudian semakin ramai peniaga mengusahakan perniagaan itu di sini,” katanya.
Ma Hasnik berkata demikian apabila ditemui ketika menyertai hidangan udang celup tepung terpanjang anjuran Pejabat Daerah Setiu menerima pengiktirafan daripada The Malaysia Book of Records (MBOR), Laman Seri Rhu 10, di sini, hari ini.
Program itu dibuat bersempena Karnival Pekan Budaya Daerah Setiu, di Laman Seri Rhu 10, Penarik, di sini.
Katanya, dia menggunakan tiga kawah untuk menggoreng udang, sotong serta ikan celup tepung.
“Dua kawah menggunakan dapur kayu api untuk mengekalkan aroma citarasa asal sama seperti mula diperkenalkan dahulu dan satu lagi menggunakan dapur gas.
“Rasa serta keenakan makanan goreng celup tepung yang dimasak atas dapur api tidak sama seperti menggunakan dapur gas,” katanya.
Katanya, legasi perniagaan yang diusahakan bersama Allahyarham suaminya, Mamat Chik dikenali sebagai Hasim kini diteruskan oleh tiga daripada lima orang anak mereka.
“Pada musim cuti sekolah permintaan terhadap udang celup tepung sangat tinggi hingga boleh mencecah 120 kilogram,” katanya.
Katanya, sebagai salah seorang pengusaha makanan celup tepung yang terawal di Kampung Pantai Rhu 10, Penarik dia amat gembira kerana hidangan celup tepung terpanjang di situ kini mendapat pengiktirafan secara rasmi daripada The Malaysia Book of Records (MBOR).
“Kami berharap lebih ramai pengunjung akan datang ke sini untuk merasai keenakan menu makanan laut popular di sini sekaligus meningkatkan pendapatan serta ekonomi masyarakat setempat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




