Tehran: Menjelang pusingan kedua rundingan damai antara Amerika Syarikat (AS)-Iran yang bertujuan menamatkan konflik bersenjata, satu isu kritikal kini menjadi tumpuan utama iaitu status aset Iran bernilai lebih AS$100 bilion (RM477 bilion) yang masih dibekukan di luar negara.
Isu ini bukan sekadar angka di atas kertas, sebaliknya ia dilaporkan menjadi tuntutan Tehran sebagai syarat rundingan.
Al Jazeera melaporkan pada pusingan pertama rundingan, Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf menegaskan bahawa hasil pendapatan negara yang disekat dalam bank asing itu mesti dibebaskan terlebih dahulu.
Apa menyebabkan aset ini dibekukan?
Sekatan AS dan negara Barat lain ini dikatakan bermula daripada krisis tebusan di kedutaan AS di Tehran, sebelum ia diperluaskan atas faktor program nuklear dan peluru berpandu balistik Tehran.
Al Jazeera melaporkan proses pembekuan aset ini bermula secara rasmi pada November 1979 di bawah pentadbiran Presiden Jimmy Carter. Walaupun sebahagian besar daripadanya dibebaskan melalui Perjanjian Algiers pada 1981, ketegangan program nuklear menyebabkan aset-aset ini dibekukan semula melalui pelbagai pusingan sekatan ekonomi.
Pada 2015, di bawah perjanjian nuklear JCPOA, Iran sempat mendapat akses kepada asetnya semula. Bagaimanapun, tindakan Prsiden Donald Trump menarik diri daripada perjanjian itu pada 2018 menyebabkan dana itu sekali lagi dikunci rapat daripada capaian Tehran.
Portal sama juga melaporkan, jumlah aset yang dibekukan itu adalah tiga kali ganda lebih besar daripada pendapatan tahunan Iran yang diperoleh menerusi hasil jualan hidrokarbon. Frederic Schneider dari Majlis Timur Tengah bagi Hal Ehwal Global memberitahu Al Jazeera bahawa ia adalah jumlah yang sangat signifikan bagi masyarakat yang menderita di bawah sekatan berdekad-dekad.
Di mana aset ini disimpan?
Al Jazeera memetik laporan media Iran yang mendedahkan aset ini berada di beberapa negara. China dikatakan memegang jumlah terbesar dengan sekurang-kurangnya AS$20 bilion (kira-kira RM79 bilion), diikuti India, sebanyak AS$7 bilion (kira-kira RM27.65 bilion).
Selain itu, Iraq dan Qatar masing-masing memegang kira-kira AS$6 bilion (kira-kira RM23.7 bilion), manakala Jepun menyimpan sekitar AS$1.5 bilion (kira-kira RM5.93 bilion).
Di Barat pula, AS memegang secara langsung AS$2 bilion (kira-kira RM7.9 bilion) dan negara Kesatuan Eropah (EU) seperti Luxembourg menyekat kira-kira AS$1.6 bilion (kira-kira RM6.32 bilion).
Kenapa aset ini penting untuk Iran?
Dengan nilai mencecah hampir satu perempat daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Iran, dana itu adalah talian hayat untuk memulihkan ekonominya yang kini dilanda krisis inflasi dan kejatuhan nilai mata wang Rial.
Pakar politik antarabangsa dari Universiti Cambridge, Roxane Farmanfarmaian memberitahu Al Jazeera bahawa kebebasan akses terhadap dana ini akan membolehkan Iran mengawal turun naik mata wang dan mengelakkan kerentanan ekonomi yang sering mencetuskan protes rakyat.
Selain kestabilan mata wang, Iran memerlukan dana itu untuk memulihkan infrastruktur kritikal yang semakin merosot. Malah, dalam konteks pascaperang, aset ini amat diperlukan untuk proses pembinaan semula negara dengan lebih cepat dan cekap.
© New Straits Times Press (M) Bhd




