SHAH ALAM: Penyanyi Aisha Retno mengakui keletihan akibat jadual kerja yang padat menjadi antara faktor persembahannya di pentas Separuh Akhir Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40SA) malam tadi dilihat kurang bertenaga oleh penonton.
Aisha atau nama sebenarnya Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 26, berkata, dia menerima dengan hati terbuka segala teguran dan kritikan netizen berhubung penampilannya ketika membawakan lagu Tak Adil pada pertandingan berprestij itu.
Menurut pelantun lagu Sutera itu, dia sudah menjangkakan reaksi sedemikian sejurus selesai membuat persembahan memandangkan dirinya sendiri menyedari tahap keletihan yang dialami sejak kebelakangan ini.
“Saya tidak nafikan memang penat dan selepas membuat persembahan, saya sudah jangkakan komen seperti itu daripada netizen. Saya terima.
“Memang kepenatan itu berpunca daripada gelombang Jodoh Lebaran yang semua orang tahu. Saya tidak menyalahkan mana-mana pihak. Apabila diumumkan lolos ke AJL, saya sendiri terkejut dan mungkin juri mempunyai penilaian tersendiri yang lebih profesional.
“Terima kasih atas keprihatinan semua. Jika perkara ini berlaku lagi, mungkin saya perlu mengambil lebih banyak vitamin atau membuat persediaan mental dan fizikal dengan lebih rapi,” katanya pada sidang media AJL40SA di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Aisha berkata, dia merancang untuk berehat selama beberapa bulan bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada pentas akhir AJL40 supaya situasi sama tidak berulang.
Katanya, sejak Disember tahun lalu sehingga kini, dia belum berpeluang berehat kerana komitmen kerja yang berterusan selain perlu memenuhi pelbagai undangan persembahan.
“Saya mungkin akan ambil masa untuk berehat beberapa bulan. Sejujurnya, sesiapa yang mengikuti perjalanan saya sejak Disember tahun lalu hingga sekarang tahu saya belum pernah berehat lagi.
“Kalau Allah beri rezeki, kita galas selagi mampu. Apa pun, terima kasih atas keprihatinan dan saya akan cuba lakukan yang terbaik.
“Mungkin benar saya perlu ambil masa berehat beberapa bulan, tetapi dalam tempoh itu saya tetap akan terus berkarya,” ujarnya.
Semalam, Aisha mempersembahkan lagu Tak Adil di pentas AJL40SA dan berjaya melayakkan diri ke peringkat seterusnya.
Bagaimanapun, persembahannya mengundang pelbagai reaksi apabila ramai berpendapat penampilannya kurang bertenaga selain tidak mencapai jangkaan penonton untuk sebuah pentas berprestij seperti AJL.



