Budaya menunjuk undang 'ain'

Budaya menunjuk undang 'ain'

mahaizura@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Perkembangan media sosial didakwa menjadi antara faktor utama peningkatan kes penyakit ‘ain ketika ini.

Menurut pengamal perubatan Islam Muhammad Dhomir Shawal, jumlah pesakit yang mendapatkan rawatan penyakit ain di pusatnya meningkat dengan ketara berbanding sedekad lalu.

“Purata dalam sebulan, sekitar 30 orang datang untuk rawatan ain berbanding hanya tujuh atau lapan orang sahaja 10 tahun lalu,” katanya.

Beliau menjelaskan, perkongsian gambar, video dan siaran langsung di media sosial memudahkan penyakit ‘ain berlaku walaupun hanya melalui pandangan.

“Melihat gambar sahaja pun boleh menyebabkan ‘ain,” katanya.

Keadaan itu katanya menjadi lebih ketara apabila budaya ‘menunjuk’ di media sosial semakin berleluasa.

“Ramai gemar berkongsi kereta baru, rumah, perniagaan, anak dan percutian. Semuanya ditunjukkan kepada orang lain tanpa benteng doa,” katanya.

Tambahnya, masyarakat perlu sedar bukan semua orang gembira dengan nikmat orang lain.

“Kadang-kadang orang menyampah pun boleh menyebabkan ain. Penyakit ini sangat bahaya, malah dalam satu hadis disebut antara punca banyak kematian umat Nabi selepas takdir Allah SWT adalah penyakit ‘ain,” katanya.

Beliau menegaskan, walaupun tidak pernah mengendalikan kes maut secara langsung, kisah sedemikian pernah diceritakan rakan perawat lain.

“Penyakit ‘ain sukar dikesan, doktor buntu, perawat juga boleh buntu. Sebab itu penting untuk berhati-hati dan menjaga pandangan mata serta hati,” katanya.

Beliau menasihati masyarakat supaya lebih berhati-hati ketika membuat sebarang perkongsian di media sosial.

“Kalau hendak buat posting, boleh letakkan benteng doa seperti Bismillahi Masya-Allah pada kapsyen atau gambar. Langkah ini membantu mengelakkan ‘ain,” katanya.

Bagi mengelakkan mudarat, Muhammad Dhomir mengingatkan setiap pujian disandarkan kepada Allah SWT.

“Bila melihat sesuatu yang baik, dianjurkan menyebut Masya-Allah, Subhanallah atau Haza Min Fadhli Rabbi bukan sekadar pujian kosong. Begitu juga apabila orang memuji anak kita tanpa menyebut nama Allah, ibu bapa perlu membalas dengan menyebut Subhanallah atau Masya-Allah sebagai pelindung,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top