Mohamed Khaled santuni media, tinjau persiapan akhir DSA & NATSEC Asia 2026

Mohamed Khaled santuni media, tinjau persiapan akhir DSA & NATSEC Asia 2026

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini mengadakan sesi press walkabout bagi meninjau persiapan akhir menjelang penganjuran Defence Services Asia (DSA) dan National Security (NATSEC) Asia 2026 yang bakal berlangsung di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC).

Tinjau persiapan akhir DSA

Pameran berprestij itu dijadual berlangsung selama empat hari bermula 20 hingga 23 April 2026, menghimpunkan pemain industri pertahanan dan keselamatan dari dalam serta luar negara.

Lawatan tersebut bertujuan memastikan tahap kesiagaan penganjuran berada pada tahap optimum, merangkumi aspek logistik ruang pameran seluas 45,000 meter persegi hingga ke prosedur protokol serta keselamatan pada tahap kesiapsiagaan penuh sepanjang acara berlangsung.

Pameran dwitahunan edisi ke-19 itu menghimpunkan kira-kira 1,400 syarikat antarabangsa dari lebih 60 negara, yang akan berlangsung sehingga Khamis ini.

Dalam sesi itu, Mohamed Khaled turut melawat beberapa zon pameran utama selain beramah mesra dengan petugas yang sedang giat membuat persiapan akhir.

Beliau sebelum itu menerima taklimat daripada pihak penganjur, DSA Exhibition and Conference Sdn Bhd, berhubung perkembangan terkini pameran berkenaan.

Turut hadir dalam lawatan itu ialah Panglima Angkatan Tentera, Malek Razak Sulaiman, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari serta Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Lokman Hakim Ali bersama barisan pengurusan tertinggi kementerian dan pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia.

Bagi memastikan kelancaran liputan media, Kementerian Pertahanan dengan kerjasama penganjur menyediakan Pusat Media lengkap dengan kemudahan jalur lebar berkelajuan tinggi serta ruang kerja yang kondusif. Pada masa sama, aspek keselamatan dan keselesaan pengunjung perdagangan menjadi keutamaan utama, dengan kehadiran dijangka melebihi 50,000 peserta dari 114 negara.

Artikel lain: ATM tambah baik sistem sebut harga perolehan, penuhi syarat ditetapkan MOF – Khaled Nordin

Pameran DSA & NATSEC Asia 2026 akan dibuka secara rasmi oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 20 April 2026.

Difahamkan, pelbagai program telah dirancang termasuk pameran melibatkan syarikat industri pertahanan tempatan dan antarabangsa, forum diskusi pertahanan, sesi menandatangani kontrak, penyerahan Surat Niat (LOI) serta dokumen kerjasama Program Kolaborasi Industri (ICP).

Scroll to Top