Rakyat Kelantan boleh jumpa ‘oppa’! Kota Bahru bakal ada penerbangan terus ke Korea Selatan

Rakyat Kelantan boleh jumpa ‘oppa’! Kota Bahru bakal ada penerbangan terus ke Korea Selatan

Rakyat Kelantan bakal menikmati kemudahan penerbangan jarak jauh apabila projek pemanjangan landasan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun depan.

Penambahan landasan boleh kendali pesawat jarak lebih jauh

Memetik laporan daripada Sinar Harian, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menyatakan, penambahan landasan sehingga 1,800 meter itu akan membolehkan pesawat mengendalikan penerbangan melebihi enam jam termasuk ke China dan Korea Selatan.

Mampu tampung penerbangan antarabangsa

Menurut beliau, ketika ini landasan sedia ada hanya mampu menampung penerbangan antarabangsa jarak dekat seperti ke Singapura, Bangkok dan Jakarta.


“Bagi penerbangan antarabangsa melebihi enam jam, pesawat memerlukan penggunaan minyak lebih banyak dan memerlukan landasan lebih panjang untuk berlepas serta membawa muatan lebih besar.
“Pemanjangan landasan ini akan menarik lebih banyak penerbangan antarabangsa sekali gus meningkatkan potensi LTSIP sebagai hab penerbangan ke Pantai Timur Semenanjung Malaysia,” katanya.

Sebelum itu, beliau menghadiri Majlis Perasmian Terminal Baharu LTSIP yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Projek naik taraf bernilai RM440 juta itu kini siap sepenuhnya dan menjadikan lapangan terbang berkenaan bersedia memainkan peranan lebih besar.

Tambah beliau, walaupun LTSIP sebelum ini dikategorikan sebagai lapangan terbang domestik, ia kini dilengkapi kemudahan imigresen dan kastam untuk mengendalikan penerbangan antarabangsa.


“Kita memang merancang membuka laluan baharu selain Singapura, Jakarta dan Bangkok dalam masa terdekat kerana Kota Bharu mempunyai potensi besar sebagai pintu masuk ke Pantai Timur,” ujarnya.

Dalam masa sama, kerajaan turut berusaha menarik lebih banyak syarikat penerbangan termasuk Malaysia Airlines, Batik Air dan AirAsia untuk menjadikan LTSIP sebagai hab serantau.

Lokasi strategik Kota Bharu juga dilihat mampu menarik penumpang dari Thailand menjadikannya sebagai transit ke pelbagai destinasi utama termasuk Korea Selatan.

Sumber: Sinar Harian (Hazelen Liana Kamarudin)

Scroll to Top