suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Gombak: Taktik banduan warga Pakistan yang meloloskan diri daripada tahanan polis pada 9 April lalu dengan bersembunyi di hutan dan menyelinap masuk ke tapak pembinaan akhirnya terbongkar apabila ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), semalam.
Suspek Muhammad Hassan, 24, ditahan sepasukan pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat JIM, pada jam 5 petang di Kilometer (KM) Batu 14, Jalan Gombak Lama di sini.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, tangkapan dibuat hasil risikan selama enam hari serta perkongsian maklumat perisikan daripada Kedutaan Pakistan.
“Hasil pemeriksaan mendapati suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Semasa kejadian, suspek cuba melarikan diri namun digagalkan oleh pasukan operasi.
“Siasatan awal seterusnya mendapati suspek mengaku melarikan diri ketika turun daripada trak polis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Zakaria berkata, suspek mengaku bersembunyi di hutan berhampiran tapak pembinaan pada waktu siang sepanjang tujuh hari melarikan diri, sebelum menyelinap masuk ke kawasan itu pada waktu malam untuk berlindung daripada ancaman binatang buas.
Selain itu, katanya, bagi mengelak dikesan oleh pihak berkuasa, suspek memakai pakaian yang dicuri daripada kawasan pembinaan.
“Hasil semakan, suspek tiba di negara ini pada 11 Januari 2025 melalui pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan diberi kemudahan Pas Lawatan Sosial (PLS) selama 30 hari.
“Proses temubual dan pengecaman oleh wakil Kedutaan Pakistan pada hari yang sama juga telah mengesahkan suspek adalah warganegara Pakistan yang meloloskan diri daripada tahanan polis pada 9 April lalu,” katanya.
Menurutnya, suspek disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan ditahan di Depot Imigresen bagi tujuan tindakan lanjut.
Beliau berkata, JIM akan meneruskan operasi berterusan untuk mengesan, menahan, mendakwa dan mengusir warga asing yang melanggar undang-undang negara.
“Sehubungan itu, orang ramai diingatkan agar tidak melindungi atau menggaji pendatang asing tanpa izin (PATI) kerana tindakan tegas boleh diambil di bawah undang-undang sedia ada.
“Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan PATI atau aktiviti yang melanggar undang-undang imigresen diminta untuk tampil menyalurkan maklumat bagi membantu pihak jabatan,” katanya.
Hari ini Harian Metro melaporkan, banduan warga Pakistan yang meloloskan diri dari Penjara Sungai Buloh pada 9 April lalu berjaya diberkas semula di Jalan Batu 14, Jalan Gombak Lama, di sini, semalam.
Terdahulu Harian Metro melaporkan, polis giat memburu seorang tahanan reman warga Pakistan yang melarikan diri dari Penjara Sungai Buloh, pada 9 April.
Lelaki itu menghadapi beberapa pertuduhan termasuk mengikut Seksyen 377C dan Seksyen 392 Kanun Keseksaan serta kesalahan berkaitan imigresen.
Polis juga menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati memandangkan banduan terbabit menghadapi pertuduhan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak.
© New Straits Times Press (M) Bhd



