Seville: Wajah Diego Simeone cuba tenang, namun bahasa tubuhnya jelas menceritakan kekecewaan mendalam selepas Atletico Madrid tewas dalam final Copa del Rey kepada Real Sociedad, awal pagi tadi.
Kekalahan menerusi penentuan penalti 4-3 selepas terikat 2-2 itu bukan sahaja meragut trofi, malah sedikit menggugat keyakinan skuad Rojiblancos menjelang aksi besar Liga Juara-Juara (UCL) menentang Arsenal.
Ini kerana kejayaan di pentas domestik dianggap sebagai ‘pelancar’ terbaik untuk Atletico memburu sejarah baharu di Eropah, trofi yang masih belum pernah dimenangi kelab itu.
Lebih pedih, peluang menamatkan kemarau trofi sejak menjuarai La Liga pada 2021 turut lebur, sekali gus menafikan kemungkinan bintang Perancis, Antoine Griezmann meninggalkan kelab dengan satu lagi kejuaraan.
Simeone tetap cuba melihat sisi positif, namun tidak menafikan luka kekalahan itu masih terasa.
“Kami bersaing dengan baik dan itu membuatkan saya sedikit tenang, tetapi kekalahan ini sangat menyakitkan,” katanya.
Dalam penentuan penalti, dua sepakan Atletico gagal disempurnakan oleh Alexander Sorloth dan Julian Alvarez, manakala penjaga gol Sociedad, Unai Marrero muncul wira dengan dua aksi menyelamat penting sebelum sepakan kemenangan disempurnakan Pablo Marin.
Lebih 30,000 penyokong Atletico yang membanjiri Seville pulang dengan hampa, namun semangat kebangkitan mula ditiup dari dalam kem sendiri.
Pemain tengah, Marcos Llorente mengakui kekalahan itu sukar diterima, tetapi percaya pasukan masih mempunyai sesuatu untuk diperjuangkan.
“Kami masih ada UCL, satu pertemuan hebat menanti. Kami perlu bangkit,” katanya.
Nada sama disuarakan kapten, Koke yang menggesa rakan sepasukan agar tidak terus tenggelam dalam kekecewaan.
“Kami sudah beri segalanya. Ini menyakitkan, tapi kami perlu teruskan,” katanya.
Sejarah membuktikan Atletico bukan asing dengan episod getir, termasuk kekalahan final UCL kepada Real Madrid pada 2014 dan 2016.
© New Straits Times Press (M) Bhd




