"Antara detik paling menakutkan," Maryam syukur Rian semakin sihat

"Antara detik paling menakutkan," Maryam syukur Rian semakin sihat

puterialia@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Sebagai ibu, ia adalah antara detik paling menakutkan yang pernah saya lalui.”

Demikian kongsi pempengaruh terkenal, Maryam You Narae, 33, mengenai perkembangan terkini anak lelakinya, Rian selepas berdepan detik cemas yang mencetuskan kebimbangan ramai, baru-baru ini.

Maryam menerusi satu hantaran di Instagram, semalam memaklumkan dia dan suami, Ryzal Ibrahim, 34, menzahirkan rasa penghargaan atas doa serta keprihatinan orang ramai terhadap situasi anak mereka susulan penularan video anak mereka pada Selasa lalu.

“Kami segera membawa Rian ke hospital sejurus selepas insiden itu berlaku. Selepas melakukan pemeriksaan, doktor menasihatkan kami untuk memantau keadaannya dengan rapi selama tempoh anggaran 48 jam sebagai langkah berjaga-jaga.

“Alhamdulillah, tempoh pemerhatian 48 jam itu kini sudah berlalu dan Rian berada dalam keadaan baik,” tulisnya.

Menurut Maryam, anak keduanya itu kini menunjukkan perkembangan positif dan kembali aktif seperti biasa.

“Dia makan secara normal, tidur dengan nyenyak, tersenyum, bermain, mengenali ahli keluarga dan berkelakuan seperti dirinya yang biasa.

“Sepanjang tempoh pemerhatian, tiada sebarang gejala luar biasa dikesan dan kami sangat bersyukur dengan perkara itu,” tulisnya lagi.

Mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku, Maryam menyifatkan insiden terbabit sebagai peringatan buat dirinya betapa kemalangan yang tidak dijangka boleh berlaku dalam sekelip mata, biarpun ibu bapa sudah melakukan yang terbaik.

“Tolong jangan risau sangat. Alhamdulillah, Rian sihat, gembira dan berada dalam keadaan baik. Terima kasih sekali lagi atas semua kasih sayang, keprihatinan dan doa,” kongsinya.

Sementara itu, Ryzal menerusi hantaran berasingan turut menghargai segala doa dan sokongan daripada orang ramai terhadap keluarganya.

Sebagai langkah keselamatan bagi mengelakkan kejadian sama berulang, Ryzal mengambil tindakan drastik dengan membuang katil anaknya itu.

“Katil Rian kami dah buang, hanya letak tilam di lantai sebelah katil kami,” tulis Ryzal.

Terdahulu, Ryzal berkongsi detik cemas dalam sebuah hantaran video di media sosialnya apabila Rian tidak menyedarkan diri selepas terjatuh daripada katil pada Selasa lalu.

Dalam hantaran video itu, Maryam dilihat berulang kali memanggil nama anak mereka yang ketika itu tidak menunjukkan sebarang tindak balas.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top