Kuala Lumpur: Dua kejadian gempa bumi lemah bermagnitud 2.9 menggegar Ranau, Sabah dan Mambong, Sarawak dalam tempoh 12 jam, Selasa lalu.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata gempa di Ranau dikesan berlaku pada kedalaman 10 kilometer (km) pada 10.36 pagi.
Beliau berkata pusat gempa itu dikesan di latitud 6.07° utara dan longitud 116.58° timur.
“Gegaran turut dirasai di beberapa kawasan sekitar Kundasang, Ranau dan Kota Belud, Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Hisham berkata pada hari yang sama, satu lagi gempa bumi lemah dengan magnitud serupa dan kedalaman 10 km dikesan berlaku di Mambong pada 10.33 malam.
Gempa tersebut berpusat di latitud 1.32° utara dan longitud 110.39° timur, dengan gegaran turut dirasai di beberapa kawasan sekitar Samarahan dan Serian, Sarawak.
Bagaimanapun, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak bimbang memandangkan kedua-dua kejadian itu dikategorikan sebagai gempa bumi bermagnitud lemah.
Mohd Hisham berkata MetMalaysia akan terus memantau keadaan berkenaan dan mengeluarkan makluman dari semasa ke semasa.
“Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca dan gempa bumi terkini yang sahih menerusi laman web rasmi, aplikasi myCuaca dan media sosial rasmi jabatan, atau menghubungi talian hotline 1300-22-1638 untuk sebarang pertanyaan lanjut,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




