Ahmad Jais cipta sejarah tersendiri

Ahmad Jais cipta sejarah tersendiri

helmi.talkah@bh.com.my

Nagoya: Ketua jurulatih skuad sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya meraih pingat emas Sukan Asia dalam acara regu berpasukan sebagai pemain dan jurulatih selepas membantu Malaysia menamatkan penantian 36 tahun pada edisi Aichi-Nagoya 2026, hari ini.

Ahmad Jais sebelum ini berada dalam skuad negara ketika Malaysia kali terakhir memenangi emas regu berpasukan pada Sukan Asia Beijing 1990, namun kali ini dia merasai kejayaan sama dari luar gelanggang sebagai ketua jurulatih selepas anak buahnya menewaskan Thailand 2-0 pada final.

Lebih istimewa, dia turut mencipta rekod peribadi apabila pernah membantu Malaysia meraih emas regu berpasukan Sukan SEA Manila 1991 sebagai pemain sebelum membimbing skuad negara menamatkan kemarau 34 tahun acara berkenaan pada Sukan SEA Thailand 2025, Disember lalu.

Ahmad Jais mengakui kejayaan itu cukup bermakna, namun menegaskan pencapaian peribadi sebagai pemain dan jurulatih bukan menjadi keutamaannya sebaliknya kejayaan pasukan negara lebih penting.

“Pada saya sebenarnya itu bukan tumpuan saya sebenarnya bila pernah menjadi juara dalam Sukan Asia sebagai pemain dan sekarang sebagai jurulatih.

“Yang paling penting sekali saya ingin melihat kejayaan pasukan negara dalam perlawanan akhir kerana ia akan memberikan satu suntikan semangat tambahan kepada pasukan negara,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Menurut Ahmad Jais, kejayaan di Aichi-Nagoya diharap mampu memberi impak positif kepada pembangunan sepak takraw negara, termasuk menarik lebih banyak sokongan selain membuka ruang kepada pemain muda diketengahkan.

Katanya, Malaysia perlu memastikan pembangunan bakat baharu berjalan seiring dengan perkembangan semasa bagi memastikan negara tidak ketinggalan.

“Kalau kita tengok dari segi prestasi pasukan Indonesia, rata-rata pemain mereka ramai pemain-pemain muda yang berpotensi yang berani mereka ketengahkan.

“Jadi, kita juga perlu seiring dengan perkembangan semasa supaya kita tidak ketinggalan dalam memberi peluang kepada pemain-pemain muda kita untuk beraksi di peringkat antarabangsa,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Jais menegaskan kejayaan memenangi emas regu berpasukan tidak boleh menyebabkan skuad negara leka apabila masih mempunyai cabaran dalam acara regu yang akan bermula Ahad ini.

Katanya, barisan pemain berada dalam keadaan baik dan perlu mengekalkan fokus bagi menghadapi setiap perlawanan.

“Semua pasukan inginkan kejayaan bagi acara regu, begitu juga dengan pasukan kita. Kita perlu fokus untuk setiap perlawanan demi perlawanan terlebih dahulu supaya kita dapat mencapai kemenangan di peringkat kumpulan dulu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top