Insiden rasis cemar aksi Spurs

Insiden rasis cemar aksi Spurs

London: Tottenham Hotspur mengecam keras serangan rasis terhadap pertahanan mereka, Kevin Danso, selepas kesilapan yang membawa kepada gol penyamaan lewat Brighton & Hove Albion dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi tadi.

Dalam perlawanan itu, Danso ditewaskan dalam perebutan bola sebelum Georginio Rutter menyempurnakan jaringan untuk memastikan keputusan 2-2, sekali gus menyaksikan Spurs terus terperangkap di zon penyingkiran.

Namun, perhatian beralih kepada isu lebih serius apabila pemain berusia 27 tahun itu menjadi sasaran komen berbaur perkauman di media sosial.

Kelab London itu dalam kenyataan rasmi menyifatkan tindakan berkenaan sebagai ‘keji, tidak berperikemanusiaan dan bersifat jenayah’, sambil menegaskan ia tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk diskriminasi.

“Kami akan mengambil tindakan tegas terhadap setiap individu yang dikenal pasti, termasuk melaporkan kepada pihak berkuasa dan platform media sosial,” menurut kenyataan itu.

Spurs turut menegaskan sokongan penuh terhadap Danso, bukan sahaja sebagai pemain tetapi sebagai individu.

Sementara itu, Danso mengakui dia melihat mesej-mesej berkenaan, namun enggan membiarkan perkara itu menjejaskan fokusnya.

“Tiada tempat untuk rasisme dalam bola sepak atau di mana-mana. Ia tidak akan menentukan siapa saya,” katanya menerusi Instagram.

Kenyataan itu hadir ketika kempen EPL, ‘No Room For Racism‘ sedang giat dijalankan, namun insiden terbaru ini sekali lagi membuktikan masalah berkenaan masih belum berjaya dibanteras sepenuhnya.

Spurs kini berada di tangga ke-18 dengan baki lima perlawanan musim ini, masih mencari kemenangan pertama liga bagi tahun 2026.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top