Sabah julang Piala Cabaran

Sabah julang Piala Cabaran

PETALING JAYA: Sabah FC menamatkan penantian tujuh tahun untuk menjulang trofi apabila muncul juara Piala Cabaran selepas menewaskan Penang FC 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti di Stadium Likas, malam tadi.

Kejayaan dramatik itu hadir selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 secara agregat dan buntu tanpa jaringan sepanjang 120 minit perlawanan.

Penang terlebih dahulu menguasai permainan pada babak awal dengan kapten, Stefano Brundo hampir membuka tirai jaringan namun tandukannya tersasar.

Pasukan pelawat terus memberi tekanan, namun percubaan Kipre Tchetche gagal menemui sasaran walaupun berada dalam posisi terbaik.

Sabah bangkit memperkemaskan permainan pada separuh masa kedua dengan beberapa percubaan berbahaya termasuk sepakan percuma Jafri Firdaus Chew yang memaksa aksi cemerlang penjaga gol lawan.

Ramadhan Hamid sekali lagi menjadi penyelamat Penang apabila menafikan rembatan kencang Dane Ingham pada masa kecederaan.

Perlawanan yang berlangsung sengit itu akhirnya berlanjutan ke masa tambahan sebelum kedua-dua pasukan masih gagal memecah kebuntuan.

Dalam penentuan penalti, penjaga gol Sabah, Damien Lim dan Ramadhan masing-masing mencuri tumpuan dengan dua aksi menyelamat penting.

Detik penentuan hadir apabila Adib Raop gagal menyempurnakan sepakan keenam Penang sebelum Farhan Roslan tenang menyempurnakan sepakan kemenangan.

Kejayaan ini menjadi penanda kebangkitan Sabah selepas kali terakhir meraih kejuaraan pada 2019, sekali gus mengubat rindu lebih 20,000 penyokong setia di Stadium Likas. – AGENSI

Scroll to Top