Valkenburg: Remco Evenepoel menebus kekecewaan tahun lalu apabila memenangi perlumbaan klasik Gold Race selepas menewaskan juara bertahan Mattias Skjelmose dalam pecutan penamat.
Setahun lalu, Evenepoel terlepas kemenangan dalam situasi hampir sama, namun kali ini pelumba Belgium itu tidak memberi peluang apabila melancarkan pecutan lebih awal sebelum berjaya mengekalkan kelebihan hingga ke garisan penamat.
Kemenangan itu juga menjadi kejayaan terbesar pertamanya dalam perlumbaan klasik satu hari dalam tempoh hampir dua tahun, sejak meraih emas Olimpik Paris 2024.
Perlumbaan menjadi menarik apabila sekumpulan kecil pelumba berjaya melepaskan diri daripada peloton dengan berbaki kira-kira 40 kilometer hasil serangan Romain Gregoire.
Insiden kemalangan membabitkan Matteo Jorgenson dan Kevin Vauquelin mengecilkan kelompok hadapan kepada tiga pelumba utama, Evenepoel, Skjelmose dan Gregoire.
Ketiga-tiga mereka kemudian memintas pelumba Itali, Marco Frigo sebelum Evenepoel melancarkan serangan yang menyingkirkan Gregoire.
Evenepoel dan Skjelmose seterusnya bekerjasama menuju garisan penamat sebelum juara Olimpik itu membuat pecutan terakhir untuk memastikan kemenangan ke-74 dalam karier profesionalnya.
Kemenangan itu hadir tepat pada masanya menjelang cabaran lebih besar minggu depan dalam perlumbaan monumen Liege-Bastogne-Liege yang turut akan disertai juara dunia, Tadej Pogacar, serta sensasi muda Perancis, Paul Seixas.
Sebelum ini, Evenepoel memulakan musim dengan cemerlang, namun sedikit bergelut dalam perlumbaan peringkat apabila sekadar menamatkan saingan di tangga ke-10 di Tour UAE dan kelima Tour of Catalonia.
© New Straits Times Press (M) Bhd




