
Vance akan melakukan lawatan ke Pakistan bagi rundingan berkaitan Iran. Foto: Agensi
ISTANBUL – Naib Presiden Amerika Syarikat, JD Vance akan melakukan lawatan ke Pakistan bagi rundingan berkaitan Iran, menurut seorang pegawai Rumah Putih kepada Anadolu Ajansi, sekali gus mengesahkan penglibatannya di tengah-tengah kenyataan yang bercanggah.
Utusan khas Steve Witkoff dan Jared Kushner juga akan ke Islamabad, kata pegawai itu.
Sebelum ini pada Ahad, Presiden Donald Trump berkata, Vance tidak akan menyertai delegasi itu, dengan alasan Perkhidmatan Rahsia bimbang mengenai aspek keselamatan dalam tempoh persiapan kurang 24 jam.
“JD sangat hebat,” kata Trump, namun logistik menjadikan perjalanan itu mustahil dalam masa singkat.
Kekeliruan bertambah apabila ABC News, Axios dan Setiausaha Tenaga AS Chris Wright melaporkan yang Vance sebenarnya akan mengetuai delegasi AS, bercanggah dengan kenyataan Trump.
Mesyuarat dijadualkan pada Selasa di Islamabad dan mungkin berlanjutan hingga Rabu, kata Trump kepada Fox News. Vance sebelum ini pernah mengetuai pusingan rundingan terdahulu yang berakhir tanpa persetujuan.
Trump memberi amaran pada Ahad bahawa jika Iran tidak menandatangani perjanjian, “seluruh negara itu akan dihancurkan,” sambil menyifatkan cadangan itu sebagai “perjanjian yang sangat mudah” dan peluang terakhir Iran. – Bernama-Anadolu



