Beliau berkata, apa yang berlaku di Hospital Segamat adalah disebabkan tekanan perkhidmatan apabila berlaku peningkatan jumlah pesakit, namun keadaan itu masih berada dalam kawalan melalui pelaksanaan pengurusan krisis kluster.
“… yang mana, kalau berlaku suasana seperti itu, (jumlah pesakit ramai) pesakit dalam kita akan terus rawat, manakala pesakit luar yang datang untuk dapat rawatan, kita akan rujuk mereka kepada fasiliti kesihatan terdekat.
“Tidak ada penutupan terhadap perkhidmatan, itu mustahak … kerana penjagaan pesakit ialah satu yang tidak boleh dikompromi dan hospital tidak tutup termasuklah (Jabatan) O&G sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Sambutan Bulan Pemakanan Malaysia peringkat Kementerian Kesihatan 2026 di sebuah pasar raya, di sini semalam.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan Pengarah Jabatan Kesihatan Melaka, Dr Husnina Ibrahim.
Pada Khamis, Pengarah Kesihatan Johor, Dr Mohtar Pungut@Ahmad dilaporkan menafikan dakwaan Hospital Segamat akan ditutup mulai 1 Julai ini seperti yang tular di media sosial.
Kenyataan tular baru-baru ini.
Beliau dipetik sebagai berkata hospital berkenaan masih beroperasi seperti biasa dan tiada sebarang penutupan seperti didakwa.
Dalam pada itu, mengulas penularan kes malaria yang didakwa membabitkan warga asing di Terengganu, Dzulkefly berkata beberapa strategi telah dilaksanakan bagi mengekang jangkitan tersebut.

Antaranya termasuk mewujudkan mekanisme amaran awal antara agensi bagi mengenal pasti kemasukan kumpulan migran dari kawasan endemik malaria, selain saringan malaria secara bersepadu dalam kalangan warga asing serta pengurusan rawatan yang diterajui kesihatan awam.




