Munich: Porselin burung Kakak tua menjadi tumpuan utama ketika sambutan kejuaraan Bundesliga Bayern Munich di Allianz Arena, malam tadi, apabila ia sekali lagi muncul sebagai maskot bertuah kelab gergasi Jerman itu.
Bayern mengesahkan kejuaraan liga ke-35 mereka selepas menewaskan VfB Stuttgart 4-2, dengan saingan musim ini masih berbaki empat perlawanan.
Ketika pemain dan barisan kejurulatihan meraikan kejayaan bersama penyokong di stadium, patung burung porselin itu turut diangkat seperti trofi sebelum diletakkan di hadapan pasukan untuk sesi bergambar rasmi.
Malah, simbol kakatua berkenaan turut dicetak pada kemeja-T rasmi kejuaraan yang dipakai pemain Bayern ketika sambutan berlangsung.
Patung itu mula menjadi perhatian selepas ‘dilarikan’ pemain Bayern dari sebuah restoran di Munich ketika sambutan gelaran liga musim lalu.
Bagaimanapun, pemilik restoran berkenaan kemudian menyerahkan patung itu secara rasmi kepada pasukan, sekali gus menjadikannya sebahagian daripada tradisi sambutan kelab.
Sejak itu, kakatua porselin terbabit menjadi maskot tidak rasmi Bayern dan dianggap membawa tuah kepada pasukan.
Dalam suasana penuh meriah di Allianz Arena, Kakak tua itu nyata mencuri perhatian sama seperti trofi yang dijulang, sekali gus menambah warna unik dalam pesta kejuaraan Bayern kali ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




