
Kuching City mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia buat kali pertama sejak penubuhannya pada 2015. Foto Kuching City FC
KUCHING City FC berpeluang mengukuhkan reputasi sebagai ‘pembunuh gergasi’ apabila bakal berdepan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, 23 Mei depan.
Skuad kendalian Aidil Sharin Sahak mengesahkan kemaraan ke final buat kali pertama sejak penubuhannya pada 2015 selepas menewaskan juara 33 kali Piala Malaysia, Selangor FC 1-0 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Negeri.
Jaringan tunggal pemain import dari Namibia, Petrus Shitembi memastikan kelab dari Bumi Kenyalang itu mara dengan agregat 2-1.
Mengulas aksi final bulan depan, Aidil menyatakan pasukannya mahu membuktikan sesuatu walaupun berdepan cabaran besar menentang JDT.
“Perlawanan ini amat penting kerana kami akan berdepan pasukan besar seperti JDT. Sebagai jurulatih, sudah tentu saya mahu menang dan muncul juara.
“Saya harap semua menikmati permainan serta suasana yang ditampilkan hari ini (Sabtu malam) dan kami mahu membawa aura sama ke Bukit Jalil supaya dua pasukan terbaik dapat bersaing dalam final,” katanya.
Pada masa sama, pencapaian Kuching City musim ini terus mencuri perhatian apabila mereka bukan dalam kelompok pilihan di awal kempen, namun kini berada di landasan untuk menamatkan saingan liga sebagai naib juara.
Dengan baki empat perlawanan Liga Super, Kuching City berkongsi 43 mata bersama Selangor FC, namun memiliki kelebihan satu perlawanan dalam tangan.
Sebagai rekod, slot ke Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) sudah menjadi milik JDT, manakala satu lagi slot ke Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) kini dilihat berpotensi menjadi milik Kuching City sekiranya momentum semasa berjaya dikekalkan.


