Paris: Bintang muda Brazil, Endrick mencuri tumpuan apabila meledak satu gol dan mencipta satu bantuan jaringan untuk membantu Lyon menewaskan Paris Saint-Germain (PSG) 2-1 di Parc des Princes, sekali gus menghadirkan tekanan baharu dalam perebutan kejuaraan Ligue 1.
Kekalahan itu menyaksikan PSG terus tertekan di puncak liga apabila hanya dibezakan satu mata di depan Lens, walaupun skuad kendalian Luis Enrique masih memiliki satu perlawanan dalam tangan.
Lyon bermula garang apabila Endrick meletakkan pelawat di depan seawal minit ketujuh sebelum pemain muda itu sekali lagi memainkan peranan penting dengan mencetuskan gerakan yang membolehkan Afonso Moreira menggandakan kelebihan pada minit ke-18.
PSG yang merehatkan beberapa tonggak selepas kejayaan menyingkirkan Liverpool untuk mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara nyata bergelut mencari rentak sebenar, malah Goncalo Ramos turut mensia-siakan peluang terbaik apabila sepakan penaltinya berjaya diselamatkan.
Khvicha Kvaratskhelia hanya mampu merapatkan jurang menerusi gol lewat permainan, namun ia tetap tidak cukup untuk mengelakkan kekalahan kelima PSG dalam saingan liga musim ini.
Luis Enrique mengakui saingan liga kini menjadi semakin sengit dengan tekanan terus hadir daripada Lens yang tidak berhenti mengutip mata.
“Anda mahu liga yang lebih sengit dan sekarang anda dapat melihatnya. Lens terus menang dan ia akan menjadi sukar hingga ke penghujung.”
Bagi Lyon pula, kemenangan itu cukup besar nilainya dalam usaha mereka memburu tiket ke Liga Juara-Juara musim depan selepas sekian lama tidak kembali ke pentas elit Eropah. Lyon kini berkongsi 54 mata bersama Lille, manakala Rennes dan Marseille terus mengekori rapat dalam persaingan kelompok teratas.
Jurulatih Lyon, Paulo Fonseca turut mengakui Endrick menjadi watak penentu, tetapi lebih menggembirakannya ialah kesungguhan pemain itu membantu pasukan dari sudut bertahan.
Apa yang pasti, kemenangan di Paris bukan sekadar tiga mata buat Lyon, tetapi juga peringatan bahawa saingan Ligue 1 belum berakhir, manakala Endrick pula terus membuktikan dirinya semakin matang sebagai senjata baharu pasukan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




