Sekitar 20 pesawat penumpang rosak dalam serangan AS-Israel – Pegawai Iran

Sekitar 20 pesawat penumpang rosak dalam serangan AS-Israel – Pegawai Iran
Sekitar 20 pesawat penumpang rosak dalam serangan AS-Israel – Pegawai Iran

Sekitar 20 pesawat penumpang dilaporkan mengalami kerosakan teruk di Iran susulan serangan AS dan Israel.

TEHERAN – Sekitar 20 pesawat penumpang dilaporkan mengalami kerosakan teruk di Iran susulan serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel, lapor Anadolu Ajansi memetik media tempatan.

Ketua Persatuan Syarikat Penerbangan Iran, Maqsoud Asadi Samani berkata, dakwaan bahawa antara 40 hingga 60 pesawat terjejas adalah tidak tepat dan tidak mencerminkan keadaan sebenar.

Menurut beliau, jumlah pesawat penumpang yang mengalami kerosakan besar akibat serangan itu dianggarkan sekitar 20 buah.

Beliau turut memaklumkan bahawa kira-kira 95 peratus kapasiti lapangan terbang di Iran tidak terjejas oleh serangan berkenaan.

Samani berkata, Iran memiliki antara 250 hingga 300 pesawat penumpang, dengan kira-kira 150 daripadanya beroperasi sebelum serangan tercetus, manakala selebihnya tidak digunakan atas sebab teknikal.

“Selepas pesawat yang rosak dikeluarkan daripada perkhidmatan, kami kini mempunyai 130 pesawat yang masih aktif,” katanya.

AS dan Israel melancarkan operasi ketenteraan terhadap Iran pada 28 Februari, yang mengorbankan lebih 3,300 orang, sebelum Washington dan Tehran mengumumkan gencatan senjata sementara selama dua minggu pada 8 April hasil pengantaraan Pakistan.

Kedua-dua pihak kini dilaporkan sedang bersiap sedia untuk mengadakan pusingan kedua rundingan di Islamabad, selepas rundingan terdahulu pada 12 April berakhir tanpa persetujuan. – Bernama/Anadolu

 

 

Scroll to Top