am@hmetro.com.my
Shah Alam: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa gembira apabila lebih separuh daripada jumlah pelaburan di Selangor pada tahun lalu dihasilkan daripada pelabur tempatan dengan nilai sebanyak RM48.9 bilion bersamaan dengan 58.3 peratus.
Sultan Sharafuddin menerima maklum pada tahun 2025, aktiviti ekonomi di Selangor mencatatkan pelaburan sebanyak RM83.9 bilion, iaitu melebihi sebanyak RM18.9 billion berbanding sasaran RM65 bilion.
“Pelaburan tempatan serta dari luar negara menawarkan 61,311 peluang pekerjaan kepada rakyat Beta, ini adalah jumlah kedua tertinggi dalam negara.
“Kerajaan Beta menjangkakan masih ada potensi untuk memperluaskan sektor perkilangan dan pembuatan yang menyumbang 21.6 peratus menerusi pelaburan baharu terutamanya dalam bidang berteknologi tinggi.
“Oleh itu, Beta berharap terdapat usaha baharu untuk merancakkan lagi aktiviti sektor perkilangan yang mampu menawarkan peluang pekerjaan kepada rakyat Beta,” titahnya.
Baginda bertitah sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri (DUN) Selangor Ke-15 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.
Baginda diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah serta Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.
Sultan Sharafuddin bertitah, bagi meningkatkan dasar ‘Ease of Doing Business’ seperti Speed Selangor, kerajaan negeri perlu mengoptimumkan urusan khususnya buat pelabur yang datang ke Selangor supaya industri sedia ada dapat dibangunkan dengan lebih pantas.
“Ini sekali gus menawarkan peluang pekerjaan kepada rakyat Beta secara lebih efektif, pantas dan efisien kerajaan Beta memaklumkan kepada Beta bahawa, tema Belanjawan Selangor 2026 adalah ‘Selangor Juara, Rakyat Sejahtera’.
“Dengan peruntukan RM3.23 bilion bagi 2026, belanjawan ini menggariskan usaha memampankan hasil negeri, meluaskan pendidikan secara holistik, mengukuhkan ekosistem perniagaan, merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar, meneruskan pemeliharaan sistem kesihatan serta penjagaan sosial rakyat.
“Di samping itu, belanjawan ini menggerakkan reformasi tadbir urus sebagai tunjang kepada pelaksanaan dasar perancangan kerajaan Beta,” titah baginda.
© New Straits Times Press (M) Bhd




