KL City mahu semua kelab duduk semeja selamatkan Liga Malaysia

KL City mahu semua kelab duduk semeja selamatkan Liga Malaysia

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pengurusan Kuala Lumpur City FC (KL City) menyahut baik cadangan mengadakan perbincangan meja bulat membabitkan semua kelab Liga Malaysia (Liga M) bagi mencari solusi terbaik memperkukuh landskap bola sepak tempatan.

Pengerusinya, Syed Yazid Syed Omar berkata, inisiatif itu tidak seharusnya dilihat sebagai usaha satu pihak semata-mata, sebaliknya perlu menjadi platform terbuka untuk semua kelab menyuarakan pandangan masing-masing.

Menurutnya, walaupun Selangor FC antara yang terawal mencetuskan idea pembaharuan, hakikatnya banyak lagi kelab lain mempunyai cadangan tersendiri demi memastikan Liga M terus relevan.

“Bukan hanya Selangor ada idea. Saya percaya setiap kelab ada pandangan dan pengalaman masing-masing yang boleh dikongsi untuk kebaikan bersama,” katanya kepada Arena Metro, hari ini.

Beliau menjelaskan, pendekatan secara kolektif penting bagi memastikan setiap keputusan yang diambil bersifat inklusif dan tidak berat sebelah kepada mana-mana pihak.

“Liga ini milik semua. Jadi penyelesaian juga perlu datang daripada semua pihak, bukan hanya satu atau dua kelab sahaja,” katanya yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA).

Mengulas lanjut, Syed Yazid menegaskan antara fokus utama perbincangan adalah untuk memastikan Liga M kekal ‘sihat’ dari sudut kewangan serta kompetitif di atas padang.

Katanya, isu kelestarian kewangan, struktur liga dan pembangunan pemain perlu dibincangkan secara serius agar tidak terus menjadi masalah berulang setiap musim.

Setakat ini, beberapa kelab termasuk Johor Darul Ta’zim FC (JDT), Terengganu FC, Sabah FC, Penang FC dan Negeri Sembilan FC dilaporkan turut menyatakan kesediaan untuk terbabit dalam perbincangan itu.

Syed Yazid berharap platform meja bulat itu dapat direalisasikan dalam masa terdekat bagi membolehkan semua pihak duduk semeja dan merangka hala tuju lebih jelas demi masa depan Liga M.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top