Dungun: Majlis Amanah Rakyat (MARA) sedang meneliti beberapa langkah sokongan bagi membantu usahawan di bawah agensi itu yang terkesan dengan cabaran ekonomi global akibat ketidaktentuan geopolitik pada masa ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, antara yang sedang diteliti adalah memperluaskan kemudahan pengurangan kadar sewaan premis kepada usahawan terlibat.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, selain itu MARA akan menilai pelaksanaan penjadualan semula bayaran pembiayaan bagi memberi ruang kepada usahawannya menstabilkan kedudukan kewangan.
“Pada masa sama, kita tidak melupakan aspek pendidikan. MARA akan terus memperkukuh pelaksanaan Program Pendidikan BUDI MARA (BUDI) bagi membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah, termasuk pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) agar mereka dapat meneruskan pengajian tanpa kekangan kewangan.
“Langkah proaktif ini penting kerana dalam apa jua keadaan ekonomi, kita tidak boleh berkompromi dalam memastikan akses kepada pendidikan berkualiti terus terpelihara. Jika seorang anak MRSM terkesan, seluruh ekosistem MARA mesti bangkit membantunya,” kata beliau ketika berucap pada majlis perasmian MRSM Dungun, di sini, hari ini.
Ketika ditemui pemberita selepas majlis tersebut, Ahmad Zahid berkata, usahawan yang terjejas diminta berhubung dan berbincang dengan pihak MARA bagi mendapatkan bantuan atau kelonggaran bayaran pembiayaan diberikan.
Namun, beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap usahawan yang tidak terjejas tetapi mengambil kesempatan ke atas kelonggaran diberikan itu.
“Kita amat prihatin dengan usahawan yang dibiayai atau di bawah bimbingan MARA. Apatah lagi syarikat-syarikat kecil dan sederhana, kita akan mencari jalan sebaiknya,” kata beliau.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) kini sedang menyelaras bantuan kepada mangsa insiden kebakaran di Kampung Bahagia, Batu Sapi, Sandakan, semalam.
“NADMA telah turun ke lapangan untuk menyediakan tempat pemindahan sementara…mereka (mangsa) juga sedang mendaftar sekarang,” katanya.
Lebih 9,000 penduduk terjejas dalam insiden kebakaran pada awal pagi semalam namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada 1.30 pagi sebelum lokasi berkenaan diisytiharkan sebagai kawasan bencana pada 4 pagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




