Sejak kebelakangan ini, masyarakat Islam di Malaysia berdepan dengan kemunculan pelbagai fahaman yang mendakwa membawa Islam paling tulen dan paling hampir dengan al-Quran serta al-Sunnah.
Namun, tidak semua dakwaan sedemikian berpijak di atas landasan ilmu yang benar. Sebahagiannya mengandungi unsur ekstremisme akidah yang akhirnya membawa kepada perpecahan umat, penghinaan terhadap para ulama muktabar dan kerosakan dalam memahami sifat Allah SWT.
Antara tanda paling jelas sesuatu fahaman telah terpesong ialah apabila ia membicarakan tentang Allah SWT dengan cara yang boleh membawa kepada penyerupaan Allah dengan makhluk. Dalam akidah Ahli Sunah Waljamaah, Allah SWT wujud tanpa menyerupai makhluk-Nya. Firman Allah SWT: “Tiada sesuatu pun yang menyerupai-Nya.” (Surah al-Syura: 11)
Atas dasar itu, ulama sepanjang zaman menegaskan bahawa Allah SWT tidak mempunyai bentuk, ukuran, anggota, arah, tempat atau ciri-ciri jasmani yang menjadi sifat makhluk. Sebarang ungkapan yang memberi gambaran bahawa Allah boleh berada di atas sesuatu objek atau melakukan perbuatan memerlukan jisim dan ruang adalah bercanggah dengan prinsip tanzih yang menjadi asas akidah Islam.
Selain itu, terdapat juga fahaman yang menganggap pentakwilan ayat-ayat mutasyabihat yang dilakukan oleh ulama Ahli Sunah sebagai suatu kesesatan. Sedangkan hakikatnya, pendekatan tafwid dan takwil telah diterima oleh ramai ulama besar Islam sejak berkurun lamanya. Imam al-Nawawi, Imam al-Bayhaqi, Imam Fakhruddin al-Razi dan ramai lagi tokoh besar umat menggunakan pendekatan tersebut bagi memelihara kesucian akidah daripada unsur tajsim serta tasybih.
Lebih membimbangkan apabila terdapat pihak yang melabel majoriti ulama al-Asyairah sebagai sesat, bahkan menyamakan mereka dengan golongan menyimpang yang lain. Hakikatnya, al-Asyairah dan al-Maturidiyyah adalah dua aliran akidah yang diterima oleh majoriti umat Islam selama lebih seribu tahun. Institusi-institusi ilmu Islam terkemuka di seluruh dunia seperti al-Azhar, Zaytunah dan Qarawiyyin mengajar serta mempertahankan akidah ini sebagai pegangan Ahli Sunah Waljamaah.
Sikap mudah menghukum sesat dan kafir terhadap tokoh besar Islam juga adalah satu gejala yang sangat berbahaya. Ulama seperti Imam al-Ghazali, Imam al-Nawawi dan Imam Fakhruddin al-Razi diiktiraf keilmuan mereka oleh umat Islam sepanjang zaman. Menuduh mereka membawa akidah sesat bukan sahaja bercanggah dengan realiti sejarah, bahkan boleh menimbulkan kekeliruan besar dalam kalangan masyarakat awam.
Lebih malang lagi apabila fahaman tertentu berani menuduh Imam Abu Hanifah meninggal dunia dalam keadaan kufur. Sedangkan beliau adalah antara imam mazhab yang paling dihormati dalam sejarah Islam.
Ulama Ahli Sunah telah menerima beliau sebagai imam mujtahid yang mempunyai kedudukan tinggi dalam agama. Tuduhan sedemikian menunjukkan kecenderungan melampau dalam beragama sehingga sanggup merendahkan kedudukan tokoh yang telah disepakati keilmuan dan kewarakannya.
Tidak kurang juga ada pihak yang mendakwa solat di belakang imam Ahli Sunah tidak sah dan perlu diulang. Dakwaan seperti ini sangat berbahaya kerana boleh memecah-belahkan masyarakat Islam. Islam mengajar kesatuan dan persaudaraan sesama Muslim bukannya menanam kebencian serta permusuhan terhadap majoriti umat yang berpegang kepada akidah Ahli Sunah Waljamaah.
Masyarakat Islam hendaklah sentiasa merujuk kepada para ulama muktabar dan institusi agama yang berautoriti dalam memahami isu akidah.
Jangan mudah terpengaruh dengan ceramah atau kandungan media sosial yang kelihatan ilmiah, tetapi sebenarnya mengandungi unsur ekstremisme dan penghinaan terhadap para ulama.
Akidah yang sahih ialah akidah yang diwarisi daripada Rasulullah SAW, para sahabat, imam-imam mazhab dan para ulama Ahli Sunah Waljamaah yang muktabar. Dengan berpegang kepada manhaj tersebut, umat Islam akan terpelihara daripada fahaman melampau yang boleh merosakkan perpaduan, mengelirukan masyarakat dan menjejaskan kesucian akidah Islam.
Penulis Pengurus Pusat Kajian Syariah Darul Fitri
© New Straits Times Press (M) Bhd




