am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Seorang ibu tunggal bukan sahaja membawa pulang rakan sepejabat yang berstatus suami orang ke rumah yang didiami anaknya sendiri, malah turut berdua-duaan dengan lelaki itu di bilik utama ketika anaknya berada di rumah.
Tindakannya yang didakwa sudah beberapa kali dilakukan akhirnya menjerat diri apabila kediaman di sebuah pangsapuri dalam daerah ini, diserbu penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), awal pagi tadi.
JAINJ dalam kenyataan berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan di kediaman berkenaan kira-kira jam 3 pagi selepas menerima aduan awam mengenai satu kes khalwat.
“Sebaik tiba, penguat kuasa mengetuk pintu rumah dan dibuka tidak sampai lima minit kemudian seorang lelaki dipercayai berusia hanya belasan tahun.
“Apabila ditanya siapa lagi yang berada di rumah, dia menjawab ada ibunya yang sedang tidur di dalam bilik utama.
“Namun, apabila ditanya ibunya bersama siapa, lelaki itu tidak boleh menjawab, menyebabkan kita terus mengetuk pintu bilik utama dan dibuka dua minit kemudian oleh seorang wanita iaitu ibu kepada lelaki berkenaan,” katanya.
JAINJ berkata, selepas lampu bilik dihidupkan, didapati seorang lelaki lain sedang berbaring di katil, namun apabila disuruh bangun, lelaki itu tidak terus bangun kerana tidak berpakaian.
Katanya, wanita berkenaan pula hanya berbaju tidur tanpa pakaian dalam dan selepas lelaki itu memakai pakaian, soal siasat diteruskan.
“Pasangan ini mengaku hanya rakan sepejabat dan bukan suami isteri. Lelaki ini berusia 30-an dan sudah mempunyai isteri serta ramai anak.
“Dia bekerja di sebuah syarikat dengan pendapatan yang agak tinggi dan satu pejabat dengan wanita berstatus janda berusia 30-an itu.
“Mereka berdua sudah lama berhubungan dan lelaki itu mendakwa berhasrat untuk bernikah dan pernah memberitahu isterinya mengenai hasratnya itu,” katanya.
Mengulas lanjut, JAINJ berkata, pengadu kes itu memaklumkan kebiasaannya lelaki terbabit datang ke rumah berkenaan selepas jam 12 tengah malam.
Pasangan itu ditangkap khalwat di bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Johor) 1997.
© New Straits Times Press (M) Bhd




