AIRBUS mahu memperluas segmen pertahanan dan angkasanya di Malaysia melalui beberapa pemeteraian dan pengumuman penting yang dijadualkan diadakan pada pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2026 dan pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026.
Presiden Airbus bagi Asia-Pasifik, Anand Stanley berkata, pihaknya akan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Boustead Holdings Bhd, Airod Sdn Bhd dan Global Turbine Asia Sdn Bhd (GTA).
Beliau berkata, kemahiran dan kepakaran tempatan dapat dipupuk menerusi pemeteraian ketiga-tiga MoU dengan rakan kongsi di Malaysia.
“Ini jelas menunjukkan mengenai komitmen Airbus di Malaysia. Airbus ialah rakan kongsi yang dipercayai yang menawarkan perkongsian pengetahuan dan kerjasama jangka masa panjang merentas setiap platform.
“Ini juga menunjukkan sokongan Airbus kepada Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) Malaysia,” katanya pada taklimat media Airbus bersempena dengan DSA 2026 dan NATSEC Asia 2026 di sini pada Isnin.
Sementara itu, Ketua Airbus Defence and Space bagi Asia-Pasifik, Zakir Hamid berkata, kerjasama dengan Boustead akan menyokong Malaysia dalam membangunkan pengetahuan baharu serta keupayaan tempatan dalam bidang angkasa, manakala dengan Airod dan GTA pula akan diperkukuh dengan keupayaan teknikal, kejuruteraan dan digital yang dipertingkatkan.
Mengenai bahagan pasaran Airbus, Ketua Airbus Helicopters bagi Asia-Pasifik, Vincent Dubrule berkata, dalam segmen helikopter awam di rantau Asia-Pasifik (tidak termasuk India dan China), Airbus menerajui pasaran dengan hampir separuh daripada pasaran keseluruhan – kira-kira 40 hingga 45 peratus.
Bagi segmen ketenteraan, beliau berkata, rantau ini banyak dipengaruhi oleh Amerika Syarikat berikutan dinamika geopolitik global, dengan pegangan pasaran helikopter ketenteraan Airbus di sini sekitar 15 peratus.
Bagaimanapun, Airbus tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai kerjasama atau pelaburan yang terlibat.
Airbus mempunyai lebih 80 helikopter awam, parapublik dan ketenteraan yang beroperasi dengan agensi nasional serta angkatan tentera, selain empat pesawat pengangkut berat dan dua satelit di Malaysia, iaitu MEASAT-3b dan MEASAT-3d.
Sehingga hari ini, Airbus dan Malaysia telah menjadi rakan strategik selama lebih 40 tahun.
Nilai pemerolehan Airbus melebihi RM1.5 bilion setahun, menyokong kira-kira 5,000 pekerjaan di Malaysia. – Bernama



