Tular polis pijak kepala: Suspek menunggang motosikal secara merbahaya, bawah pengaruh dadah

Tular polis pijak kepala: Suspek menunggang motosikal secara merbahaya, bawah pengaruh dadah

am@hmetro.com.my

Kulim: Polis mengesahkan video tular hari ini yang memaparkan kejadian tangkapan membabitkan seorang lelaki di hadapan sebuah kedai aksesori motosikal di Jalan Tunku Putra, di sini, berkaitan operasi ronda cegah jenayah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Tengku Mohd Faisal Tengku Yeng berkata, rakaman video yang tular berdurasi 29 saat di Facebook (FB) itu memaparkan kejadian membabitkan anggota polis dan seorang suspek.

Beliau berkata, dalam rakaman video itu suspek dilihat ditarik dari motosikal sehingga terjatuh sebelum kepalanya dipijak oleh anggota terbabit.

“Hasil siasatan awal mendapati, kes berlaku pada jam 11 pagi ketika anggota polis menjalankan ronda cegah jenayah dan menahan suspek di Jalan Sungai Ular.

“Sewaktu hendak menahan suspek, berlaku pergelutan apabila suspek bertindak melawan anggota dengan menendang motosikal milik anggota polis dan melarikan diri dengan menunggang motosikal secara melulu, melawan arus dan merbahaya kepada pengguna jalan raya lain.

“Bagaimanapun anggota polis berjaya mengesan suspek di hadapan sebuah kedai aksesori motosikal, Jalan Tunku Putra dan menahannya tidak lama kemudian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tengku Mohd Faisal berkata, hasil pemeriksaan di motosikal ditunggang suspek berusia 32 tahun itu menemui dua bungkus plastik lutsinar yang disyaki mengandungi air rebusan daun ketum.

Beliau berkata, suspek dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut dan hasil ujian saringan awal air kencing juga dapati positif dadah jenis methampetamine.

“Sehubungan itu, pihak polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Tengku Mohd Faisal berkata, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kulim esok untuk permohonan reman.

Beliau berkata, polis percaya suspek menunggang motosikal dalam keadaan pengaruh dadah kerana hasil ujian saringan air kencing mendapati dia positif.

“Motosikal yang ditunggang suspek juga dibawa secara merbahaya dan boleh membawa ancaman keselamatan jalan raya kepada masyarakat sekitar.

“Justeru itu, PDRM IPD Kulim, menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi negatif berkaitan kejadian terbabit, ” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top