PAMERAN perdagangan kafe dan minuman terbesar di Malaysia, International Café and Beverage Show (ICBS) 2026 kembali dianjurkan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bermula 7 hingga 9 Mei depan.
Memasuki edisi kelima, penganjuran tahun ini menerima penyertaan jenama global selain pengenalan segmen baharu yang mencerminkan perkembangan industri kafe dan minuman di rantau ini.
ICBS 2026 bakal menampilkan 650 jenama, melibatkan 1,000 barista dan 2,000 pemilik kafe, dengan kehadiran dianggarkan mencecah 13,000 pengunjung dari 55 negara.
Acara anjuran Montgomery Asia dengan kerjasama Barista Guild Asia, Eciatto dan HJC Global Tea Fair itu dijangka mengukuhkan peranannya sebagai platform utama yang menghimpunkan pemain industri kafe dan minuman di Malaysia serta Asia Tenggara.
Pengarah Projek Montgomery Asia, Alun Jones berkata, ICBS bukan sekadar pameran, sebaliknya menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi minuman di rantau ini.
“Di sini mereka bertukar idea, kerjasama strategik dibentuk dan perniagaan bakal menemui peluang baharu untuk berkembang.
“Edisi kali ini turut memperlihatkan landskap minuman yang pelbagai dan dipacu inovasi, termasuk perkembangan pesat dalam segmen teh khusus, minuman sedia diminum serta konsep berinspirasikan mixology,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Dalam pada itu beliau memaklumkan, antara kelainan ICBS tahun ini ialah pengenalan segmen khusus teh untuk kali pertama dalam sejarah penganjurannya, hasil kerjasama HJC Global Tea Fair.
Menurutnya, segmen tersebut akan mengetengahkan inovasi teh global sejajar peningkatan permintaan terhadap minuman premium.
ICBS 2026 turut menampilkan Malaysia Open Coffee Championship (MOCC) yang menghimpunkan 38 peserta dalam tiga kategori iaitu Malaysia Open Brewers Cup, Malaysia Open Latte Art Championship dan Malaysia Open Barista Championship.
Selain itu, pertandingan ICBS: Unite Malaysian Taste Challenge 2026 turut diperkenalkan bagi mengetengahkan kreativiti peserta dalam menghasilkan moktail berasaskan cita rasa tempatan.
Pameran tersebut dibuka secara percuma dengan dua hari pertama dikhaskan kepada pelawat perdagangan, manakala 9 Mei dibuka kepada orang ramai.



