PDRM tidak campur urusan agama dan adat resam Negeri Sembilan

PDRM tidak campur urusan agama dan adat resam Negeri Sembilan

am@hmetro.com.my

Seremban: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan mencampuri urusan agama dan adat resam di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad menegaskan, kontinjen amat menghormati Adat Perpatih dan undang-undang berkenaan yang menjadi teras kedaulatan pemerintahan, pentadbiran dan perpaduan negeri ini.

“Sehubungan itu, PDRM tidak akan mencampuri sebarang urusan berkaitan agama dan adat resam serta peruntukan yang termaktub di bawah undang-undang terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dalam masa sama, adalah menjadi keutamaan PDRM untuk memastikan keselamatan, ketenteraman awam dan keamanan Negeri Sembilan sentiasa terpelihara, termasuk melindungi nyawa, keselamatan dan harta benda awam.

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya bertenang, tidak membabitkan diri dalam mana-mana pihak yang terbabit, tidak membuat sebarang spekulasi, serta memberi ruang kepada proses yang sedang berjalan tanpa sebarang gangguan.

“PDRM turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa bertanggungjawab dalam mengeluarkan sebarang kenyataan, ulasan atau perkongsian, sama ada secara fizikal mahupun di platform digital.

“Selain tidak menyebarkan sebarang bentuk kandungan yang boleh menimbulkan kekeliruan, keresahan awam atau menyentuh sensitiviti berkaitan 3R (agama, raja dan kaum),” katanya

Tegas beliau, mana-mana perbuatan berbentuk ugutan, provokasi, hasutan, fitnah, penyebaran maklumat palsu atau apa-apa unsur yang menyalahi undang-undang sekiranya dikesan, akan disiasat dan tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.

“Kerjasama semua pihak dalam mengekalkan ketenteraman, menghormati proses yang sedang berlangsung dan memelihara keharmonian negeri ini amat dihargai,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top