Madrid: Juara bertahan Terbuka Perancis, Carlos Alcaraz memberi bayangan mungkin tidak mempertahankan gelarannya di Roland Garros tahun ini bagi mengelakkan kecederaan pergelangan tangan yang dialaminya menjadi lebih serius.
Pemain nombor dua dunia itu menegaskan dia tidak mahu mengambil risiko dengan kembali beraksi terlalu awal, walaupun kejohanan di Paris dijadual bermula pada 18 Mei ini.
Carlos Alcaraz berkata, keutamaan utamanya kini adalah untuk memastikan proses pemulihan berjalan dengan sempurna demi jangka masa panjang kariernya.
“Saya lebih rela kembali sedikit lambat tetapi dalam keadaan terbaik berbanding kembali awal, tergesa-gesa dan tidak cergas,” katanya.
Alcaraz sebelum ini menarik diri daripada kejohanan Barcelona minggu lalu selepas mengalami masalah pada pergelangan tangan ketika melakukan pukulan balas.
Keadaan itu disahkan lebih serius daripada jangkaan awal sebelum dia sekali lagi membuat keputusan untuk tidak beraksi di Terbuka Madrid.
Perkembangan itu sekali gus menimbulkan tanda tanya besar mengenai peluangnya untuk mempertahankan kejuaraan Roland Garros yang dimenanginya tahun lalu.
“Insya-Allah, saya masih ada karier yang panjang di hadapan. Jika saya memaksa diri di Roland Garros, ia mungkin memberi kesan kepada kejohanan akan datang,” katanya.
Alcaraz sebelum ini berada dalam prestasi cemerlang di gelanggang tanah liat dengan mencatat 17 kemenangan berturut-turut termasuk menjuarai kejohanan di Rome dan Roland Garros musim lalu.
Namun, kekalahan kepada Jannik Sinner di final Monte Carlo Masters pada 12 April lalu menyaksikannya turut kehilangan status pemain nombor satu dunia.
Kini, fokus utama Alcaraz adalah untuk pulih sepenuhnya sebelum kembali bersaing di tahap tertinggi tanpa sebarang risiko kecederaan berulang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




