Wanita ternak 60,000 ular berbisa raih pendapatan lebih setengah juta

Wanita ternak 60,000 ular berbisa raih pendapatan lebih setengah juta
Wanita ternak 60,000 ular berbisa raih pendapatan lebih setengah juta

Ular diternak dalam beg dan diletakkan di atas pasir – Foto: Agensi

GUILIN – Tindakan seorang wanita di China kembali ke kampung halaman untuk menternak lebih 60,000 ular berbisa membuahkan hasil lumayan apabila menjana pendapatan tahunan melebihi satu juta yuan (RM580,000).

Wanita dikenali sebagai Qin, 30, dari wilayah Guangxi itu berkata, dia mula terlibat dalam industri berkenaan dua tahun selepas menamatkan pengajian universiti apabila pulang membantu bapanya menguruskan ladang ular keluarga.

Menurutnya, pada peringkat awal bapanya tidak bersetuju dengan penglibatannya kerana menganggap pekerjaan tersebut terlalu berbahaya.

“Namun apabila operasi semakin berkembang dan tidak lagi mampu diuruskan seorang diri, saya mula membantu sebelum mengambil alih peranan utama,” katanya.

Kini, Qin menguruskan lebih 60,000 reptilia termasuk lebih 50,000 ular ‘five-step’ daripada spesies pit viper serta hampir 10,000 ular tedung.

Dia menjelaskan, ular five-step memerlukan kaedah pemakanan khas termasuk diberi makan secara paksa, selain risiko tinggi akibat sentuhan rapat dengan haiwan berbisa itu.

Menurut Qin, ladang tersebut membekalkan pelbagai produk untuk kegunaan perubatan tradisional dan penyelidikan termasuk ular kering, pundi hempedu serta minyak ular.

Katanya, bisa ular yang diekstrak pula dijual untuk tujuan perubatan dan saintifik, dengan setiap ular mampu menghasilkan bisa dua kali sebulan.

“Harga bisa boleh mencecah antara 40 hingga 200 yuan (RM23 hingga RM115) bagi setiap gram bergantung kepada kualiti,” katanya.

Selain itu, daging ular dijual antara 200 hingga 300 yuan (RM115 hingga RM174) seekor, manakala spesimen bersaiz besar boleh mencecah lebih 1,000 yuan. (RM580)

Scroll to Top