Zulakbal tegas kerusi presiden FAM bukan tempat 'trial and error'

Zulakbal tegas kerusi presiden FAM bukan tempat 'trial and error'

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur “Ia tidak boleh dikendalikan secara ‘trial and error’, demikian reaksi Pensyarah Kanan Sains Kejurulatihan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Dr Zulakbal Abdul Karim.

Pandangan Zulakbal itu selari dengan kenyataan bekas Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi yang menegaskan kerusi nombor satu badan induk itu bukan tempat untuk uji kaji.

Menurutnya, walaupun kenyataan Yusoff itu mengundang reaksi negatif, mesej sebenar yang cuba disampaikan perlu difahami secara mendalam.

“Kenyataan itu memang mengundang reaksi, namun pengisiannya harus kita selami. Jawatan presiden bukan sekadar simbol, tetapi amanah besar yang perlu dipikul oleh individu yang benar-benar cintakan bola sepak.

“Bola sepak kita kini berada di persimpangan, khususnya dari sudut tadbir urus dan pembentukan dasar,” katanya.

Tambah Zulakbal, beliau menyokong pandangan bahawa calon presiden perlu hadir dengan perancangan jelas, bukan sekadar retorik.

“Saya menyokong kenyataan Datuk Wira bahawa mana-mana calon perlu datang dengan pelan yang jelas, hala tuju tersusun serta kefahaman menyeluruh terhadap ekosistem bola sepak negara.

“Dalam masa sama, mereka juga perlu peka terhadap landskap politik dan perkembangan geo-politik semasa,” katanya.

Menurutnya, realiti bola sepak negara ketika ini memerlukan kerjasama pelbagai pihak bagi memastikan kelangsungan industri.

“Secara realitinya, bola sepak kita memerlukan jalinan kerjasama semua pihak termasuk Kerajaan Persekutuan, agensi kerajaan, ahli gabungan, penaja dan kelab-kelab yang diterajui individu daripada pelbagai latar belakang,” katanya.

Mengulas mengenai peranan Tunku Ismail Sultan Ibrahim, beliau mengakui figura itu mempunyai pengaruh besar dalam ekosistem bola sepak tempatan.

“Saya berpandangan Tunku Ismail adalah individu berpengaruh yang penting dalam ekosistem sedia ada.

“Kita harus sedar bola sepak negara tidak pernah ditadbir tanpa pengaruh tokoh berjawatan tinggi termasuk Perdana Menteri, Menteri Kabinet dan Kerabat Diraja sepanjang lebih 70 tahun,” katanya.

Pada masa sama, Zulakbal mengingatkan bahawa bakal presiden FAM perlu bersedia berdepan tekanan dari pelbagai sudut.

“Untuk bangkit daripada isu tadbir urus, kontroversi tujuh pemain asing dan masalah gaji tertunggak, individu yang mahu menggalas jawatan ini perlu bijak menangani tekanan dari dalam dan luar,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top