am@hmetro.com.my
Shah Alam: Selangor mengharapkan suntikan dana daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam penganjuran penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) Selangor sebagaimana kelaziman penganjuran Sukma negeri lain sebelum Ini.
EXCO Belia, Sukan & Keusahawanan negeri, Mohd Najwan Halimi berkata, pada ketika pihaknya sedang cuba untuk berunding dengan KBS bagi mendapatkan suntikan dana.
“Saya difahamkan dalam penganjuran Sukma yang lepas-lepas, negeri-negeri penganjur termasuk Sarawak, Perlis, Perak pada kebiasaan secara lazimnya mendapat peruntukan daripada kerajaan Persekutuan.
“Cuma mengejutkan untuk tahun ini, kerajaan negeri Selangor tidak menerima sembarang peruntukan lagi daripada kerajaan Persekutuan.
“Kita sedang ikhtiar…kalau boleh KBS usahakan sedikit geran ataupun dana untuk membantu (kerajaan negeri Selangor) dari segi kos Sukma nanti.
“Mungkin kalau kita dapat suntikan dana itu, kita boleh memberikan penjelasan kepada ahli-ahli Dewan sejajar dengan titah Tuanku Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk buat penyesuaian dari segi kos dan sebagainya,” katanya.
Katanya ketika ditemui media pada Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-15 di Dewan Negeri Selangor, SUK di sini hari ini..
Beliau berkata demikian mengulas sama ada pihak KBS atau Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari ada berhubung dengannya susulan titah Sultan Selangor yang berpandangan Sukma Selangor wajar ditangguhkan susulan konflik Asia Barat dan Stadium Shah Alam siap sepenuhnya.
Sultan Sharafuddin bertitah, ini berikutan penganjuran temasya sukan oleh negeri Selangor itu memerlukan peruntukan yang sangat tinggi.
Pada masa sama katanya, segala input yang diperoleh daripada sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Sultan Selangor oleh ADUN-ADUN nanti akan dibawa kepada Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma Selangor 2026 kelak.
“Apa jua keputusan daripada Selangor ini nanti Kita akan bawa kepada pihak KBS menerusi mesyuarat berkenaan. Maksudnya kita kena bincang semula dengan negeri-negeri dan juga pihak KBS.
“Mungkin selepas mesyuarat Ini, saya dan Menteri KBS akan cari masa untuk membuat penjelasan dan menghadap Tuanku tetapi bergantung kepada hasil perbahasan,” katanya.
Sementara itu katanya, semua persiapan dan latihan atlet kontinjen Selangor berjalan lancar seperti dirancang malah Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor diminta meneruskan usaha pembangunan atlet serta program latihan tanpa gangguan.
“Untuk kontinjen Selangor kita masih lagi jalankan persiapan dan latihan seperti biasa. Jadi saya minta MSN Selangor untuk terus menjalankan kerja-kerja pembangunan atlet dan latihan,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Sukma ke-22 dan Para Sukma Selangor 2026.
SUKMA Selangor dijangka mempertandingkan 474 acara daripada 37 jenis sukan dari 15 Ogos sehingga 24 Ogos ini.
Berdasarkan pecahan mengikut jantina pula sejumlah 239 acara sukan membabitkan atlet lelaki, 217 acara wanita dan 18 acara campuran.
Sebanyak 53 venue di sembilan daerah di Selangor akan digunakan sebagai gelanggang pertandingan membabitkan 12 pihak berkuasa tempatan (PBT), institusi pengajian tinggi awam dan swasta, agensi-agensi kerajaan dan swasta serta Velodrom Nasional di Negeri Sembilan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




