Justwin tidak sangka gambar tular hanya kerana servis pendingin hawa

Justwin tidak sangka gambar tular hanya kerana servis pendingin hawa

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Penampang: “Sampai sekarang saya masih terkejut dan tak sangka akan tular di media sosial hanya kerana gambar itu.

“Segan juga tapi anggap peluang dikenali selepas tular sebagai pembuka rezeki juga untuk saya,” kata Justwin Deamin Jonas.

Justwin, 22, mencuri perhatian warganet selepas seorang wanita yang berkongsi gambarnya di Threads.

Menerusi gambar itu, kelihatan Justwin yang juga juruteknik syarikat pembekal rangkaian peralatan rumah melakukan penyelenggaraan pendingin hawa di kediaman wanita berkenaan.

Bagaimanapun, apa yang lebih mencuri perhatian adalah ketampanan Justwin hingga ada yang mahu mencungkil identiti pemuda itu.

Berkongsi kisahnya, Justwin berkata, dia tahu gambarnya diambil kerana wanita berkenaan sudah meminta izin dengannya.

“Tapi saya ingat dia ambil gambar untuk beri maklum balas jadi saya pun okay saja.

“Rupanya dia post di Threads hingga tular dan selepas itu, banyak juga kiriman mesej diterima.

“Ada yang berkenalan dan tawarkan jadi model. Setakat ini, itu saja dan tak ada pula yang sampai tawarkan saya berlakon,” katanya.

Anak keempat daripada enam beradik itu berkata, dia sudah dua tahun bekerja sebagai juruteknik namun ada pengalaman dalam dunia peragaan.

Menurutnya, dia juga pernah menyertai dan bergelar juara ketika percubaan sulungnya dalam pertandingan Mr Native Borneo 2023.

“Itu saja pertandingan pernah saya turut serta setakat ini. Keluarga sokong saja malah mereka pun teruja selepas dapat tahu kisah saya tular.

“Lagipun, dalam keluarga saya seorang saja yang berminat menceburi dunia peragaan.

“Cuma buat masa ini, saya nak teruskan dengan kerja dilakukan sekarang dan jadikan kerjaya model sebagai punca pendapatan sampingan jika ada tawaran bersesuaian.

“Keluarga sokong minat saya malah mereka pun teruja bila dapat tahu saya tular di media sosial,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top