MAHAR gesa UNHCR percepat proses penempatan semula pelarian Rohingya, negara ini hanya transit bukan destinasi kekal

MAHAR gesa UNHCR percepat proses penempatan semula pelarian Rohingya, negara ini hanya transit bukan destinasi kekal

Kuala Lumpur: Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) menggesa Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) mempercepat proses penempatan semula pelarian Rohingya di Malaysia, sambil menegaskan bahawa negara ini hanyalah sebuah negara transit dan bukannya destinasi penempatan semula yang kekal.

Dalam satu kenyataan, MAHAR memaklumkan bahawa Malaysia bukan negara penandatangan Konvensyen Pelarian 1951, justeru tanggungjawab penempatan semula pelarian ke negara ketiga terletak pada UNHCR dan usaha itu perlu dilaksanakan dengan lebih pantas serta agresif.

“Hakikat bahawa segelintir pelarian Rohingya telah menunggu sehingga 15 tahun di Malaysia adalah bukti jelas bahawa proses ini terlalu lambat. MAHAR menggesa UNHCR untuk mempercepatkan proses penempatan semula ini tanpa sebarang kelewatan,” menurut kenyataan itu.

Pertubuhan kemanusiaan itu menyatakan ia berkongsi kebimbangan yang disuarakan oleh pelbagai pertubuhan Rohingya antarabangsa mengenai nasib komuniti pelarian itu di Malaysia, di samping mengakui penderitaan yang dialami etnik Rohingya akibat kekejaman junta tentera Myanmar.

Bagaimanapun, MAHAR memaklumkan kehadiran lebih 200,000 pelarian di Malaysia dalam tempoh yang berpanjangan memberi tekanan nyata kepada ekonomi, perkhidmatan awam, keselamatan komuniti dan struktur sosial negara.

Menurut pertubuhan itu, ramai pelarian yang tidak mempunyai saluran sah untuk mendapatkan pekerjaan terpaksa mencari rezeki di luar batasan undang-undang semata-mata untuk terus hidup, sambil menegaskan bahawa beban itu tidak seharusnya dipikul oleh Malaysia dan rakyatnya semata-mata.

“Komuniti antarabangsa dan UNHCR perlu turut memikul tanggungjawab ini dengan lebih serius dan berkesan,” menurut pertubuhan itu.

MAHAR turut menegaskan bahawa pemilikan kad UNHCR tidak mengecualikan pelarian daripada mematuhi undang-undang Malaysia, sambil menambah bahawa setiap individu di negara ini tanpa mengira status, wajib mematuhi undang-undang, menghormati budaya dan nilai-nilai masyarakat Malaysia.

Pertubuhan itu memaklumkan keperluan asas pelarian seperti tempat perlindungan, pendidikan, penjagaan kesihatan serta peluang pekerjaan yang dikawal selia sepanjang tempoh transit mereka perlu ditangani secara lebih teratur menerusi pendekatan yang tersusun dan menyeluruh bagi memastikan komuniti pelarian tidak bergantung sepenuhnya kepada bantuan kebajikan.

Ia turut menyeru 40 pertubuhan Rohingya yang baru-baru ini mengeluarkan kenyataan bersama supaya memperluas peranan kemanusiaan mereka dengan mendidik pelarian mengenai tanggungjawab mereka sepanjang berada di Malaysia, memupuk rasa hormat terhadap adat resam tempatan serta meningkatkan tekanan antarabangsa terhadap junta tentera Myanmar supaya menghentikan penindasan terhadap etnik Rohingya.

Presiden MAHAR Jismi Johari berkata usaha kemanusiaan turut merangkumi aspek memastikan keselamatan pelarian dan komuniti tuan rumah, sambil menambah bahawa walaupun kebimbangan rakyat Malaysia terhadap keselamatan awam adalah berasas, tiada mana-mana komuniti wajar digeneralisasikan secara tidak adil.

Beliau berkata penyelesaian yang berkekalan memerlukan komitmen yang lebih besar daripada UNHCR, komuniti antarabangsa dan Myanmar, bukannya Malaysia semata-mata.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top