Karim tegaskan kedudukannya sah sebagai Presiden MA

Karim tegaskan kedudukannya sah sebagai Presiden MA

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Presiden Olahraga Malaysia (MA), Datuk Karim Ibrahim tampil menegaskan kedudukannya sebagai peneraju badan induk itu adalah sah dan mengikut perlembagaan.

Dalam satu kenyataan media, Karim menjelaskan proses pemilihan serta pelantikannya dibuat secara telus dan mematuhi segala garis panduan ditetapkan.

Beliau turut menjelaskan jawatan yang disandang itu adalah selaras dengan perlembagaan MA yang sudah diluluskan oleh Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) dan berkuat kuasa sejak 15 Januari 2025.

Menurutnya, perlembagaan itu tertakluk kepada kelulusan PJS selaras dengan Akta Pembangunan Sukan Negara yang digubal oleh Parlimen Malaysia.

“Akta ini adalah undang-undang yang mengawal selia badan sukan di negara ini dan bukan berada di bawah bidang kuasa badan antarabangsa seperti Olahraga Dunia (WA),” katanya.

Dalam masa sama, Karim turut hairan mengapa isu berkenaan kembali dibangkitkan, sedangkan ia tidak dipersoalkan ketika proses pencalonan dan pemilihan berlangsung.

“Fokus utama seharusnya kepada usaha membangunkan olahraga negara, bukan menimbulkan isu yang boleh mengganggu keharmonian,” katanya.

Jun tahun lalu, Karim kembali diangkat sebagai Presiden MA bagi penggal 2025-2028 selepas memenangi pemilihan orang nombor satu badan induk itu pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM).

Karim yang pernah bergelar presiden persatuan itu pada penggal 2014-2019 menang selepas memperoleh 25 undi dengan menewaskan pencabarnya, Datuk Mark Ling Lee Meng yang meraih 15 undi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top