SEREMBAN: Pasukan hoki wanita Negeri Sembilan merangkul Piala Sumbangsih Liga Hoki Malaysia TNB 2026 selepas menumpaskan Malaysia University-UNITEN (Malaysia University), 4-0 di Stadium Hoki Seremban 2 di sini, petang tadi.
Kemenangan itu nyata menyuntik moral pasukan itu yang diperkuatkan dengan enam pemain kebangsaan selain dua pemain import berpengalaman dalam perlawanan pembukaan di hadapan penyokong sendiri.
Negeri Sembilan memulakan kempen jaringan gol pada minit keenam menerusi pemain kebangsaan, Fatin Shafika Mohd. Shukri yang berpunca daripada pukulan sudut penalti.
Jaringan itu ternyata mengejutkan Malaysia University, tetapi membakar semangat Negeri Sembilan untuk terus mengasak ke kubu lawan.
Memasuki suku keempat, Negeri Sembilan mengubah corak serangan dan hasilnya seorang lagi pemain kebangsaan, Nur Afiqah Syahzani Azhar berjaya menjaringkan gol kedua pada minit ke-50.
Fatin Shafika sekali lagi mencuri perhatian apabila berjaya menjaringkan gol ketiga pada minit ke-54 melalui pukulan sudut penalti.
Ketika permainan menunggu tamat, pasukan tuan rumah tidak mensia-siakan peluang pukulan sudut penalti dan Siti Nur Arfah Mohd. Nor memastikan Negeri Sembilan meriah tiga mata dan merangkul Piala Sumbangsih dengan gol keempat.
Kapten Negeri Sembilan, Noor Hasliza Md. Ali berkata, beliau dan rakan sepasukan puas mengutip tiga mata pertama dan merangkul Piala Sumbangsih di gelanggang sendiri.
Katanya, kejayaan tambah bermakna memandangkan Malaysia University adalah antara pasukan terbaik liga hoki tersebut dengan membariskan 15 pemain kebangsaan.
“Sebab itu saya mengingatkan setiap pemain agar tidak mengambil sikap sambil lewa dengan mengawal ketat kawasan sekitar 25 meter daripada tiang gol.
“Saya puas kerana semua pemain mempamerkan prestasi terbaik dan kami tidak sangka dapat menjaringkan empat gol,” katanya.
Piala Sumbangsih itu telah disampaikan oleh Naib Presiden Persatuan Hoki Negeri Sembilan, Datuk N. Logendran.-UTUSAN




