Manifesto parti Muda sekadar retorik, tanding empat kerusi mana mampu bentuk kerajaan – AMK

Manifesto parti Muda sekadar retorik, tanding empat kerusi mana mampu bentuk kerajaan – AMK

KUALA LUMPUR: Angkatan Muda Keadilan (AMK) mempersoalkan rasional Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mengemukakan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sedangkan parti itu hanya bertanding empat daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus tidak mempunyai laluan untuk membentuk kerajaan negeri.

Ketua Penerangan AMK, Danish Hairudin berkata, sesebuah kerajaan Johor memerlukan sekurang-kurangnya 29 kerusi bagi memperoleh majoriti mudah, namun Muda hanya bertanding empat kerusi, menjadikan manifesto yang diumumkan sukar direalisasikan.

Beliau berkata, keadaan itu menimbulkan persoalan sama ada manifesto tersebut sekadar janji politik atau benar-benar mempunyai mekanisme untuk dilaksanakan.

“Bagaimana Parti Muda mahu melaksanakan semua janji tersebut sedangkan mereka sendiri tidak bertanding dengan jumlah kerusi yang membolehkan mereka membentuk kerajaan?

“Secara matematik dan realiti politik, Muda tidak mempunyai laluan untuk mentadbir Johor secara bersendirian. Ini bukan soal persepsi, tetapi soal angka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Danish, jika Muda tidak berhasrat membentuk kerajaan sendiri, parti itu perlu menjelaskan kepada rakyat gabungan mana yang akan dipilih bagi membolehkan manifesto tersebut dilaksanakan.

Katanya, rakyat berhak mengetahui lebih awal sama ada Muda bercadang bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) atau Barisan Nasional (BN), dan bukannya membuat keputusan hanya selepas pilihan raya.

“Rakyat tidak sepatutnya hanya disajikan manifesto yang indah, tetapi disembunyikan hakikat politik yang bakal menentukan sama ada manifesto itu boleh dilaksanakan ataupun tidak.

“Adakah rakyat diminta mengundi dahulu, kemudian barulah Muda memutuskan kepada siapa mandat itu mahu diserahkan?” soalnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa Presiden Muda sendiri sebelum ini pernah mengakui parti itu tidak mempunyai angka untuk membentuk kerajaan dan manifesto yang dibawa hanyalah cadangan kepada mana-mana kerajaan yang memerintah.

Sehubungan itu, katanya, rakyat berhak mengetahui kerajaan mana yang dimaksudkan sebelum membuang undi kerana mandat yang diberikan bukan “cek kosong” untuk diserahkan kepada mana-mana pihak selepas keputusan pilihan raya diumumkan. – UTUSAN

Scroll to Top